Saturday 2 January 2016

Arab Saudi hukum mati ulama Syiah


IMEJ daripada Agensi Berita Saudi menunjukkan ulama Syiah, Nimr al-Nimr. REUTERS


TEHERAN – Arab Saudi akan membayar harga yang tinggi kerana membunuh ulama Syiah berpengaruh, Nimr al-Nimr semalam, kata jurucakap Kementerian Luar Iran, Hossein Jaber Ansari dalam satu amaran kepada Riyadh.
“Kerajaan Arab Saudi menyokong menangani krisis dalam negeri dengan penindasan dan pembunuhan,” kata Hossein yang dipetik agensi berita rasmi Iran, IRNA.
Arab Saudi melaksanakan hukuman mati terhadap 47 individu yang didapati bersalah melakukan keganasan terma­suk Nimr.
Ulama berumur 56 tahun itu menjadi pendukung tunjuk pe­rasaan pada 2011 di timur Arab Saudi di mana penduduk minoriti Syiah mengadu mereka disisihkan oleh kerajaan.
Namun, senarai mereka yang dihukum mati itu tidak termasuk anak saudara Nimr, Ali al-Nimr yang berusia 17 tahun apabila dia ditangkap susulan bantahan tersebut.
Menurut kenyataan kementerian tersebut, 47 orang yang menjalani hukuman mati itu didapati bersalah kerana menyokong ideologi radikal, menyertai pertubuhan pengganas dan melaksanakan pelbagai komplot jenayah.
Mereka yang dihukum mati termasuk seorang rakyat Mesir dan warga Chad, manakala bakinya ialah rakyat tempatan.
Senarai itu termasuk Fares al-Shuwail yang dilaporkan media Arab Saudi sebagai pemimpin agama pertubuhan Al-Qaeda di Arab Saudi. Dia ditangkap pada Ogos 2004.
Kesemua 47 orang itu menjalani hukuman mati di 12 bandar berlainan di Arab Saudi, kata kenyataan kementerian sama tanpa mengulas lanjut kaedah hukuman mati itu. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0103&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3w8aLCPmQ 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment