Sunday 10 January 2016

Arab Saudi beri amaran kepada Iran


11 Januari 2016 12:51 AM


RIYADH 10 Jan. – Kerajaan Arab Saudi semalam memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap Iran jika negara itu terus mencetuskan ketegangan di rantau Asia Barat.
Menurut agensi be­rita Al Jazeera, Menteri Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir mengumumkan perkara itu selepas menghadiri mesyuarat luar biasa Menteri-­Menteri Luar Majlis Kerjasama Teluk (GCC) di Riyadh semalam.
Namun, Adel tidak menjelaskan secara lanjut berhubung bentuk tindakan yang akan diambil.
“Kami sedang mengkaji langkah-langkah tambahan yang akan diambil jika Iran tetap mahu meneruskan dasar-dasar semasa­nya,” katanya ketika mensyuarat tersebut.
Negara-negara Teluk menyatakan sokongan terhadap Arab Saudi dalam mesyuarat itu dan GCC sebulat suara mengutuk serangan terhadap misi diplomatik Arab Saudi di Iran menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat tersebut.
Arab Saudi memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran selepas penunjuk pe­rasaan menggeledah bangunan kedutaan di beberapa bandar dan konsulat Arab Saudi di Teheran berikutan hukuman pancung terhadap 47 orang termasuk ulama terkenal Syiah, Sheikh Nimr al-Nimr.
Sementara itu, Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif berkata, pihaknya kini mengambil langkah berdiam diri dan bersabar dengan dasar penentangan Riyadh terhadap Teheran.
“Setakat ini kami hanya bersabar de­ngan langkah-langkah negatif itu kerana terdapat jarak antara kebijaksanaan Iran dengan pendekatan sesat dan tidak matang pegawai Saudi.
“Kami tidak mahu mencetuskan ketegangan di rantau ini,” kata Mohammad Javad dalam pertemuan dengan Timbalan Menteri Luar China, Zhang Ming di Teheran semalam.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/arab-saudi-beri-amaran-kepada-iran-1.178330#sthash.VSgPwGkJ.dpuf

No comments:

Post a Comment