Wednesday 30 December 2015

Iran bedil peluru berpandu dekat kapal induk AS


AGENSI - GAMBAR fail 9 Disember 2012 menunjukkan kapal pengangkut pesawat USS Harry Truman belayar di Lautan Atlantik.


WASHINGTON – Tentera Laut Iran membuat tembakan ujian beberapa buah peluru berpandu berhampiran tiga kapal perang Barat termasuk kapal pengangkut pesawat USS Harry S Truman minggu lalu, kata seorang pegawai tentera Amerika Syarikat (AS) kelmarin.
Walaupun peluru-peluru berpandu itu tidak ditujukan ke arah mana-mana kapal, jaraknya yang dekat dengan kapal perang terbabit dan juga beberapa kapal komersial telah menimbulkan kebimbangan.
“Kami melihat tindakan melancarkan peluru berpandu pada jarak sebegitu dekat dengan kapal-kapal terbabit sebagai tindakan provokasi,” kata pegawai tersebut yang enggan dikenali.
Pegawai itu mengesahkan laporan rangkaian te­levisyen NBC News yang menyatakan sebuah peluru berpandu itu meletup pada jarak sekitar 1,400 meter dari USS Truman di Selat Hormuz.
Sebuah kapal frigat Perancis dan kapal pemusnah AS, USS Bulkeley juga berada di lokasi tersebut.
Kejadian itu berlaku pada 26 Disember lalu, tidak lama selepas Tentera Laut Iran mengumumkan bahawa ia akan mengadakan latihan peluru hidup dan memberi amaran kepada kapal-kapal agar menjauhi kawasan terbabit. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1231&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3vrBkAHbm 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment