Penunjuk perasaan termasuk pelajar universiti dan pemimpin agama membawa kain rentang dan melaungkan slogan mengutuk kerajaan Arab Saudi dan sekutunya, Amerika Syarikat (AS) dan Israel, semalam.
Portal PressTV melaporkan, ahli keluarga Sheikh Nimr menyatakan bahawa Riyadh enggan menyerahkan jenazahnya kepada keluarga­nya dan telah mengebumikannya di satu lokasi yang tidak dinyatakan.
Dalam pada itu, ribuan penduduk Iraq semalam berkumpul di jalan-jalan raya di bandar-bandar utama negara itu termasuk Baghdad, Basra, Karbala dan Najif bagi membantah keputusan Arab Saudi berkenaan.
Sementara itu, Kuwait hari ini menjadi negara Teluk Arab terbaharu memanggil pulang dutanya dari Iran sebagai membantah serangan ke atas Kedutaan Arab Saudi di negara ini.
Agensi berita KUNA yang memetik Kementerian Luar Kuwait sebagai berkata, serangan itu merupakan pelanggaran perjanjian dan norma antarabangsa, selain kegagalan Iran terhadap komitmen antarabangsa dalam memastikan ke­selamatan diplomat dan duta.