Sunday 3 January 2016

Pengikut, pemimpin Syiah berang kematian Nimr


SEORANG wanita syiah memegang sepanduk yang menunjukkan gambar Nimr al-Nimr ketika protes di Qatif kelmarin. - AFP


TEHERAN – Arab Saudi akan berdepan pembalasan Tuhan ke­rana melaksanakan hukuman mati terhadap seorang ulama Syiah berpengaruh. Nimr Al-Nimr kata pemimpin agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei semalam.
“Penumpahan darah ulama ini secara tidak wajar akan mendapat pembalasan segera,” kata Khamenei kepada para ulama Iran di Teheran.
Nimr menjalani hukuman mati bersama 46 lelaki lain di Arab Saudi ke­lmarin.
“Ilmuwan ini tidak menghasut orang ramai supaya mengangkat senjata atau merancang konspirasi. Beliau hanya mengkritik secara terbuka berdasarkan pengetahuan agamanya,” ujar Khamenei.
Beliau menyifatkan kematian Nimr sebagai satu kesilapan politik oleh kerajaan Arab Saudi.
Riyadh bagaimanapun menyatakan, mereka yang menjalani hukuman mati itu didapati bersalah kerana menyokong ideologi radikal, menyertai pertubuhan pengganas dan merancang pelbagai komplot jenayah.
Dalam perkembangan ber­kaitan, orang ramai yang marah cuba membakar Kedutaan Arab Saudi di Teheran lewat kelmarin. Menurut beberapa pegawai semalam, seramai 40 orang telah ditangkap berhubung serangan itu.
Penunjuk-penunjuk perasaan di Teheran membaling bom petrol dan menyerbu Kedutaan Arab Saudi sebelum diarah bersurai oleh pihak polis.
Selain Teheran, beratus-ratus orang menunjuk perasaan di bandar suci pengikut Syiah, Karbala di Iraq. Sebilangan pemimpin Iraq turut menggesa kerajaan supaya menutup Kedutaan Arab Saudi yang baru dibuka di Baghdad.
Perdana Menteri Iraq, Haider al-Abadi pula melahirkan perasaan amat terkejut dengan kematian Nimr.
“Kebebasan bersuara dan penentang­an secara aman ialah hak asasi asas manusia yang dianugerahkan Tuhan dan undang-undang antarabangsa. Pelanggarannya memberikan impak negatif ke atas kese­lamatan dan kestabilan rantau ini (Asia Barat),” katanya. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0104&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3wE8Eymfd 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment