RIYADH - ARAB SAUDI. Negara gabungan Arab dan Yaman menafikan dakwaan Iran bahawa jet pejuang Arab telah menyerang Kedutaan Iran di Sanaa, Yaman, lapor BBC.
Melalui satu kenyataan, negara gabungan itu memberitahu bahawa tiada sebarang operasi dijalankan berhampiran Sanaa pada Rabu malam.
Dakwaan itu disifatkan 'palsu dan tidak benar'.
Semalam Iran dilaporkan mendakwa jet pejuang Arab membedil kedutaannya di ibu negara Yaman yang mencederakan kakitangannya.
[ARTIKEL BERKAITAN: Iran tuduh Saudi serang kedutaan di Sanaa]
Melalui kenyataan itu juga, Arab berkata bahawa pihaknya telah mengesahkan bahawa bangunan kedutaan tersebut selamat dan tiada kerosakan seperti didakwa.
Hubungan Arab Saudi dengan Iran tegang selepas kedutaan Arab Saudi di Tehran diserang susulan pelaksanaan hukuman mati ke atas ulama syiah terkenal, Sheikh Nimr al-Nimr, baru-baru ini.
Selepas itu, beberapa negara seperti Bahrain, Sudan dan Kuwait turut memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran setelah beberapa ketika Arab Saudi mengumumkan untuk memanggil balik semua pegawainya di Iran
.