Ketika ditanya tentang kemungkinan perang antara Arab Saudi dan Iran semasa diwawancara oleh majalah Economist, Menteri Pertahanan Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman berkata, Riyadh tidak mahu perkara itu berlaku sama sekali.
“Perang antara Arab Saudi dan Iran boleh memulakan konflik yang lebih buruk di rantau ini, dan kami akan memastikan perkara itu tidak berlaku.
“Jika ada pihak yang mahu pepe-rangan tersebut meletus, maka tanggapan mereka salah sama sekali,” katanya.
Bagaimanapun, Putera Mohammed mempertahankan pelaksanaan hukuman pancung ke atas Sheikh Nimr, walaupun tindakan itu mencetuskan kemarahan dalam kalangan pengikut Syiah yang majoritinya tinggal di Iran.
“Mahkamah (Arab Saudi) tidak membezakan sama ada pesalah itu merupakan pengikut Syiah atau Sunnah.
“Kami (Arab Saudi) menjatuhkan hukuman berdasarkan jenayah yang mereka lakukan, menerusi prosedur undang-undang dan perbicaraan,” kata beliau.
Konflik diplomatik antara ke-dua-dua negara semakin memuncak apabila Kedutaan Arab Saudi di Teheran, Iran diceroboh dan dibakar oleh penunjuk perasaan Iran sehingga menyebabkan beberapa negara sekutu Riyadh di rantau Arab turut memutuskan hubungan diplomatik dengan Teheran.
Terbaharu, Somalia mengikuti jejak langkah Bahrain, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Kuwait, Jordan, Sudan dan Mesir untuk memutuskan hubungan dengan Iran apabila memberi masa selama 72 jam kepada kakitangan Kedutaan Iran meninggalkan negara tersebut.
Dalam pada itu, Iran menuduh Arab Saudi mengebom kedutaannya di ibu negara Yemen, Sanaa tetapi tiada kemusnahan dilaporkan terhadap bangunan tersebut.
Riyadh mengetuai tentera pakatan untuk memerangi pemberontak Houthi yang berfahaman Syiah di Yemen sejak sembilan bulan lalu selepas kumpulan terbabit menggu­lingkan kerajaan pimpinan Presiden Abdrabbuh Mansour Hadi. – DPA