Friday 29 January 2016

Masjid di Arab Saudi diserang




AFP - ANGGOTA penyelamat cuba membantu mangsa serangan bom di Masjid Imam Rida di bandar Mahasen, Arab Saudi semalam.


RIYADH – Satu serangan senjata dan pengeboman ke atas sebuah masjid penduduk Syiah yang terletak di Wilayah Timur Arab Saudi menyebabkan tiga orang terbunuh dan sekurang-kurangnya 10 lagi cedera semasa mereka menunaikan solat Jumaat semalam, kata seorang saksi dan media tempatan.
Saksi itu berkata, satu letupan yang diikuti insiden tembakan berlaku di Masjid Imam Rida yang terletak di bandar Mahasen, rantau al-Ahsa dalam wilayah yang kaya dengan sumber minyak itu.
“Letupan berlaku di luar masjid, manakala seorang penyerang bersenjatakan mesingan masuk dan melepaskan tembakan. Ada beberapa individu yang mati tercedera.
“Beberapa pemuda merampas senjata itu dan membelasah penyerang tetapi tidak mati. Polis yang tiba di tempat kejadian telah menahannya sementara mangsa-mangsa yang cedera di bawa ke hospital dengan menggunakan kereta memandangkan ambulans lewat tiba,” kata saksi itu yang enggan namanya disiarkan.
Beberapa gambar dan klip video yang dimuat naik di media sosial menunjukkan sekurang-kurangnya tiga orang mati di dalam masjid itu manakala, tangan seorang mangsa terputus.
Sementara itu, dalam satu rakaman video yang berasingan, anggota-anggota polis terpaksa melepaskan tembakan ke udara untuk menyuraikan orang ramai yang berang dan cuba membelasah suspek ber­kenaan.
Setakat ini, belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab me­lakukan serangan berkenaan. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0130&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3ygAasgsH 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment