Sumber keselamatan dan hospital berkata, 10 penduduk turut terkorban selepas ditembak dalam kejadian yang berlaku di Muqdadiya kira-kira 80 kilometer timur laut Baghdad.
Saksi berkata, sesetengah daripada mereka yang terkorban ditembak di dalam rumah atau diheret ke jalan raya sebelum dipancung oleh penyerang bertopeng.
Sumber polis berkata, penyerang berlegar-legar di sekitar Muqdadiya dan memberi amaran kepada penduduk dengan menggunakan pembesar suara supaya meninggalkan bandar berkenaan atau akan dibunuh.
Ketua jabatan kerajaan Iraq yang memantau kawasan-kawasan penduduk Sunnah, Abdul Lateef al-Himayim menyifatkan perbuatan tersebut sebagai `tindakan terdesak’ untuk menghancurkan perpaduan Iraq.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam satu kenyataan berkata, kejadian pengeboman masjid akan membawa negara ini kembali ke zaman gelap kerana berlakunya pergeseran kaum.
Anggota Jawatankuasa Wilayah Diyala, Haqqi al-Jabouri berkata, serangan telah melukakan hati komuniti di negara ini dan menyalahkan kumpulan militia Syiah kerana membakar masjid-masjid terbabit.
Sekurang-kurangnya dua masjid Sunnah dibakar di selatan Baghdad minggu lalu, susulan daripada tindakan kerajaan Arab Saudi menjatuhkan hukuman mati ke atas ulama Syiah, Sheikh Nimr al-Nimr. – REUTERS