Ketika diplomatnya di Riyadh tiba di Teheran selepas dihalau oleh Arab Saudi, Iran yang diperintah oleh puak Syiah, mengeluarkan kenyataan-kenyataan lisan berhubung krisis tersebut yang menyaksikan Riyadh dan sekutunya memutuskan hubungan diplomatik.
Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif berkata, Riyadh perlu berhenti berkonfrontasi dengan Teheran.
Mohammad Javad yang merujuk perbalahan antara kedua-dua negara itu sejak sekian lama, yang memuncak dengan pelaksanaan hukuman pancung ke atas ulama terkenal Syiah, berkata, negara yang diperintah puak Sunah itu secara sistematik cuba membuat kerosakan.
“Sejak dua setengah tahun lalu, Arab Saudi menentang usaha diplomasi Iran. Arab Saudi menentang usaha kami, dan malangnya, mereka menentang perjanjian nuklear,” katanya pada satu sidang media.
Beliau turut menuduh Arab Saudi mengkhianati rakyat Iran dengan menurunkan harga minyak.
“Trend untuk mencipta tekanan perlu dihentikan. Kita perlu bersatu dan menghentikan perbuatan cuba menambah minyak ke dalam api yang terbakar,’’ katanya.
Kemuncak ketegangan dilaporkan berlaku selepas Iran pada tahun lepas berjaya mencapai perjanjian dengan kuasa-kuasa besar dunia dipimpin oleh Amerika Syarikat (AS) berhubung program nuklear Teheran, yang mencetuskan kebimbangan besar Riyadh.
Perjanjian itu apabila dilaksanakan, akan menamatkan sekatan ke atas industri minyak dan gas Iran, dan bakal menyaksikan Teheran mencabar peranan Riyadh sebagai kuasa ekonomi dan tenaga di Asia Barat. – AFP