Wednesday 13 January 2016

Iran tahan bot tentera laut AS, hantar anggota pulang

RABU, 13 JANUARI 2016 @ 10:12 AM


GAMBAR dikeluarkan tentera laut Amerika Syarikat (AS) menunjukkan jenis bot tentera laut AS yang ditahan Iran di perairan Teluk, Selasa lepas. - Foto AFP


 WASHINGTON: Seramai 10 anggota dalam dua bot tentera laut Amerika Syarikat (AS) ditahan Iran di perairan Teluk pada Selasa dan Tehran memberitahu AS bahawa semua mereka akan dihantar pulang dengan segera, kata pegawai AS. Jurucakap Rumah Putih, Josh Earnest berkata: "Kami sudah menerima jaminan daripada Iran bahawa tentera laut kami dalam keadaan selamat dan akan dibenarkan untuk meneruskan perjalanan mereka dengan segera." Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif sudah memberi jaminan kepada Setiausaha Negara AS, John Kerry bahawa anggota tentera itu akan dibenarkan meneruskan perjalanan dengan segera. Biarpun kedua-dua pihak tidak mahu memanjangkan insiden itu, ia berlaku ketika hubungan dua hala AS-Iran baru mengukuh. Iran dan enam kuasa besar dunia mengikat perjanjian senjata nuklear pada Julai lalu. Pelaksanaan rasmi perjanjian itu akan bermula berikutan tindakan Iran yang bersetuju untuk menangguhkan aktiviti nuklearnya. Sementara itu, agensi berita Fars melaporkan Pasukan Revolusi Iran menahan dua bot selepas mereka memasuki 'secara haram' perairan Iran di Teluk. Kedua-dua bot itu ditahan dekat Pulau Farsi kira-kira dua kilometer dalam kawasan perairan Iran. Pegawai dari Iran dan AS berunding untuk membebaskan anggota berkenaan. Pegawai pertahanan AS berkata, sembilan anggota lelaki dan seorang wanita berada di dalam bot berkenaan. Sementara itu, perancangan untuk menghantar semua anggota terbabit ke kapal AS di perairan antarabangsa sedang dilaksanakan pada awal hari ini. Pegawai berkata, kerja itu lebih selamat dijalankan pada waktu siang. Katanya, pihak Iran akan membawa anggota itu ke perairan antarabangsa dan mereka akan dipindahkan ke kapal USS Harry S Truman iaitu kapal pengangkut pesawat. - Agensi

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/113795

No comments:

Post a Comment