KLUANG - Seorang pekebun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Rendah Syariah, Kluang di sini, hari ini kerana memiliki buku mengaitkan ajaran dan fahaman Syiah pada Disember dua tahun lalu.
Tertuduh, Hairudin Abdullah, 47, yang berasal dari Senggarang, Batu Pahat didakwa memiliki buku bertajuk 'Kebangkitan Asyura Dalam Ucapan Dan Perutusan Imam Khomeini' karya Ayatullah Ruhullah Musamal Khomeini yang boleh mengaitkan ajaran dan fahaman Syiah dalam sebuah kereta kancil di hadapan sebuah restoran di Jalan 1/1, Taman Sri Impian di sini, kira-kira 6 pagi, 3 Disember 2014.
Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 9 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dijalankan Pendakwa Syarie Noorul Badariah Abdul Majid, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Hakim Syarie Syazwan Mohd Yusof membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan dua orang penjamin dan menetapkan 16 Mac depan untuk sebutan semula bagi lantikan peguam
.