Kenyataan itu disuarakan menerusi satu kenyataan rasmi OIC selepas anggota pertubuhan tersebut mengadakan mesyuarat di Jeddah bagi membincangkan isu yang dibangkitkan oleh Riyadh berhubung kedutaannya di Teheran diserang dan dibakar oleh penduduk Iran yang mengadakan tunjuk perasaan di Teheran pada 2 Januari lalu.
Krisis itu tercetus selepas Arab Saudi melaksanakan hukuman pancung ke atas ulama terkemuka Syiah, Sheikh Nimr al-Nimr yang didapati bersalah menyokong aktiviti keganasan.
OIC turut mengutuk serangan ke atas Kedutaan Arab Saudi di Teheran dan mengkritik kenyataan Iran yang mencetuskan api persengketaan kerana mempertikaikan keputusan mahkamah ke Sheikh Nimr.
“OIC mengutuk tindakan Iran mencampuri urusan dalam negara lain di rantau ini dan beberapa negara lain termasuk negara anggota pertubuhan itu iaitu Bahrain, Ye­men, Syria dan Somalia.
“Selain itu, OIC mengecam tindakan Iran yang secara berterusan menyokong aktiviti keganasan,” jelas kenyataan tersebut.
Iran juga merupakan anggota OIC. Timbalan Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi turut menghadiri mesyuarat berkenaan.
Teheran bagaimanapun menolak kenyataan OIC yang disifatkan sebagai tidak boleh diterima dan menuduh OIC menyokong kempen keganasan yang dilakukan Arab Saudi. – REUTERS