Sunday 23 October 2016

Perdagangan Malaysia,Iran 
ke arah positif – Mustapa


23 Oktober 2016 12:16 AM
TEHRAN, Iran 22 Okt. – Usaha mempertingkatkan perdagangan Malaysia dan Iran berada pada landasan positif apabila kedua-dua negara menya­takan komitmen untuk mempertingkatkan hubungan ekonomi.

MUSTAPA MOHAMED

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, tumpu­an ketika ini adalah untuk mengimbangi per­dagangan kedua-dua ne­gara dengan melihat ke­­pada beberapa peluang pe­­laburan yang wujud di republik ini.

Katanya, antara produk keluaran Iran yang boleh diimport ke Malaysia selain berkaitan minyak dan gas adalah simen serta besi keluli memandangkan republik ini merupakan antara negara pengeksport barangan berke­naan.


“Iran sedang menarik pelaburan asing sebanyak RM30 hingga RM50 bilion setahun. Maknanya, peluang pelaburan itu besar bagi kita. Oleh itu, hari ini kita membawa bersama 20 wakil perniagaan mewakili 10 syarikat Malaysia untuk melihat peluang itu di sini.

“Jika kita lihat sekarang ini, perdagangan kedua-dua negara tidak seimbang dengan Iran membeli lebih ba­nyak daripada kita terutama mi­nyak kelapa sawit. Jadi, ini perlu diseimbangkan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada Mingguan Malaysia selepas mengadakan perjumpa­an dengan Menteri Industri, Perlombongan dan Perdagangan Iran, Mohammad Reza Nematzeneh sempena Misi Perdagangan dan Pelaburan ke Tehran.

Terdahulu, Mustapa menga­da­kan perjumpaan dengan Menteri Petroleum, Bijan Namdar Zangeneh.

Misi berkenaan adalah susulan daripada mesyuarat bilateral antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Presiden republik ini, Dr. Hassan Rouhani di Putrajaya baru-baru ini.

Mustapa seterusnya membentangkan kertas kerja bertajuk Pelu­ang Perdagangan dan Pelaburan di Malaysia pada semi­nar anjuran Dewan Perdagangan, Industri, Perlombongan dan Pertanian Iran (ICCIMA).

Berkuat kuasa 16 Januari lalu, sekatan-sekatan antarabangsa yang dikenakan terhadap Iran ditarik balik selepas badan pemantau nuklear Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan Iran telah melaksanakan semua langkah yang terkandung dalam perjanjian nuklear terhadap republik ini.

Dalam pada itu, Mustapa berkata, Petronas dan Bukhari International Ventures (BIV) te­lah menyatakan minat untuk terlibat dalam industri minyak dan gas Iran berikutan pengenalan kontrak petroleum berintegrasi (IPC) oleh kerajaan republik ini.

Menurutnya, sistem baharu yang diperkenalkan selepas sekatan terhadap Iran ditarik itu turut menarik minat beberapa syarikat kecil dan sederhana Malaysia untuk terlibat dalam industri tersebut. –MINGGUAN

No comments:

Post a Comment