Wednesday 12 October 2016

Cucu nabi tokoh semua, kata pemimpin Syiah selepas tangkapan Muharram

 | October 12, 2016
Pemimpin Syiah tempatan mempersoalkan tindakan penguatkuasa agama Melaka menahan 2 pengikut mazhab Syiah kerana mengibarkan bendera dengan nama Sayyidina Hussain sempena sambutan 10 Muharram.
Sayyidina HussainKUALA LUMPUR: Seorang pemimpin Syiah tempatan mempersoalkan penangkapan ke atas 2 pengikut aliran kedua terbesar Islam itu di Melaka baru-baru ini kerana terlibat dalam majlis sambutan 10 Muharram, iaitu tarikh memperingati pembunuhan cucu Nabi Muhammad, Hussain bin Ali, pada tahun 680.
Mohd Kamilzuhairi Abd Aziz berkata tokoh seperti Hussain, yang merupakan antara tokoh utama dalam sejarah awal Islam, sepatutnya menjadi faktor perpaduan umat Islam semua mazhab dan bukan disempitkan sebagai tokoh Syiah semata-mata.
Beliau mengulas tindakan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) menahan 2 lelaki berusia 32 dan 54 tahun semalam.
Menurut Berita Harian semalam, Jaim mendapati beberapa bendera dipasang di sebuah rumah dipercayai didiami keluarga beraliran Syiah, sebagai persiapan menyambut Hari Asyura pada 10 Muharam yang jatuh pada hari ini.
Penangkapan itu berlaku beberapa hari selepas lawatan rasmi Hassan Rouhani, presiden Iran yang merupakan antara negara Islam dengan penduduk majoriti Syiah.
“Memang apabila saya lihat gambar, bendera yang digantung memaparkan nama cucu Rasulullah iaitu Sayyidina Hussain yang biasanya dibuat oleh pengikut Syiah. Tetapi takkan ditangkap hanya kerana itu. Bagi saya ia tidak rasional,” kata Kamilzuhairi kepada FMT.
Hari Asyura merupakan salah satu hari penting dalam Islam, terutama bagi pengikut mazhab Syiah yang mengenang kematian Hussain dalam pertempuran di Karbala, Iraq.
Kamilzuhairi yang juga pemimpin Jawatankuasa Masyarakat Awam Syiah Imamiyyah (Ja’fari) Malaysia itu berkata, sudah tiba masanya umat Islam melihat Hussain melangkaui batas mazhab dan menjadikan tokoh itu faktor penyatupaduan.
“Hussain dan ahli keluarga Rasulullah yang lain adalah tokoh Islam, bukan Syiah semata-mata. Mereka disebut dalam asbab al-nuzul (sebab penurunan) ayat Al-Quran dan juga hadis, termasuk daripada perawi Sunni sendiri.
“Kita kena ketepikan soal mazhab. Kini terdapat ratusan juta orang Syiah di seluruh dunia, malah walaupun menjadi minoriti di kebanyakan negara Muslim, jumlah mereka signifikan.
“Bukankah bagus jika tokoh ini yang dipandang mulia kedua-dua pihak (Sunni dan Syiah) menjadi faktor penyatupaduan,” kata Kamilzuhairi, yang juga pernah ditangkap beberapa kali sekitar 2011-2014 termasuk kerana hadir dalam acara sambutan ulang tahun kelahiran Fatimah, puteri Nabi Muhammad, di Gombak pada 2011 dan 2014.
Pada 1996, Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa Syiah menyeleweng daripada Islam dan mengharamkan umat Islam Malaysia mengamalkannya dan disusuli fatwa di peringkat negeri.
Sebelum ini, ahli jawatankuasa Pemuda Umno, Datuk Fathul Bari Mat Jahya, yang menjadi rujukan utama Umno dalam soal Islam, menyeru pihak berkuasa memerangi pengikut Syiah dengan menuduh mereka sama bahaya dengan militan IS.
Ia bagaimanapun mengundang kritikan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Ahmad, yang berkata perbandingan itu tidak sesuai.
Aliran Syiah merupakan mazhab Islam kedua terbesar dengan pengikutnya tertumpu di Iran, Iraq, Bahrain, beberapa bahagian Arab Saudi dan negara teluk lain.
Ia berbeza pandangan dengan aliran Sunnah mengenai rujukan serta beberapa tokoh awal sejarah Islam

No comments:

Post a Comment