Friday 7 October 2016

Cara sambut hari ‘Asyura


MOHD. RADZI MOHD. ZIN  |  07 Oktober 2016 6:00 PM
Nabi Muhammad SAW amat mengambil berat dan memberi keutamaan kepada amalan puasa pada hari ‘Asyura dalam bulan Muharam. Sebagaimana disebut oleh Ibn Abbas bahawa beliau pernah ditanya tentang puasa pada hari ‘Asyura ini, lalu berkata: “Aku tidak pernah ketahui bahawa Rasulullah SAW berpuasa sehari kerana mencari kelebihannya di atas hari-hari yang lain kecuali pada hari ini, dan baginda tidak berpuasa sebulan kerana mencari kelebihan ke atas bulan-bulan yang lain kecuali bulan ini, iaitu Ramadan.” (Riwayat Muslim)

Ramai yang mengetahui sunnah Nabi SAW tentang puasa sunat ini. Motivasi utama melakukannya adalah mendapat pengampunan Allah bagi dosa setahun yang lalu. Antara sebab kita digalakkan berpuasa pada hari ke-10 Muharam adalah sebagai mensyukuri nikmat Allah yang menyelamatkan Nabi Musa dan Bani Israel daripada Firaun. Sebagaimana dicatatkan dalam al-Quran, Firaun mati ditelan Laut Merah ketika mengejar Nabi Musa. (rujuk asy-Syuaraa: 61-66)

Sayangnya, ada umat Islam yang lebih sibuk membuat bubur asyura berbanding berpuasa pada hari tersebut. Bukanlah salah mengacau bubur asyura tetapi daripada segi aulawiyat (keutamaan) adalah lebih baik berpuasa. Bubur itu boleh dibuat pada hari-lain lain.


Ibn ‘Abbas meriwayatkan yang bermaksud: “Apabila Nabi SAW datang ke Madinah, baginda melihat golongan orang Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura, lalu baginda bertanya: “Apakah ini?”. Mereka menjawab: “Hari ini adalah hari yang baik di mana Allah telah menyelamatkan Nabi Musa dan Bani Israel daripada musuh mereka, maka Musa pun berpuasa.” Lalu Nabi SAW bersabda: “Aku lebih berhak dengan Musa daripada kamu,” maka baginda pun berpuasa dan menyuruh orang ramai supaya berpuasa.” (Riwayat Bukhari)

Bercakap tentang hari ‘Asyura tentunya akan turut menyentuh peristiwa Karbala - kisah Saidina Hussain (cucu Rasulullah) dan anak kepada Saidina Ali yang dibunuh kejam di sebuah tempat bernama Karbala di Iraq. Natijahnya, wujud dua golongan yang menyambut hari ‘Asyu­ra secara ekstrem iaitu golongan Syiah dan yang digelar Nawashib.

Pengikut Syiah menjadikan tarikh 10 Muharam setiap tahun sebagai hari untuk berkabung dan menunjukkan kesedihan demi memperingati kematian Saidina Hussain. Ketika hari ‘Asyura mereka melakukan perbuatan umat jahiliah seperti memukul wajah dan tubuh badan sehingga berdarah, menyeksa diri, berteriak serta menangis menunjukkan kesedihan dan merobek pakaian.

Ini masih diamalkan penganut fahaman Syiah di Iran, Iraq dan Pakistan serta tempat lain. Perbuatan sebegini amat bertentangan dengan hukum syarak kerana apa yang diperintah Allah apabila ditimpa musibah adalah bersabar.

Kelompok Nawashib pula bertindak sebaliknya iaitu menunjukkan kegembiraan pada hari ‘Asyura. Mereka menyambutnya persis pesta, menghias bandar dengan indah, memasak makanan tertentu lalu bersedekah kepada orang ramai, menyediakan makanan lazat dan lain-lain lagi upacara mencerminkan suatu hari untuk bergembira seperti hari raya.

Perbuatan kelompok ini juga bertentangan dengan syarak. Apatah lagi jika dilakukan bersempena dengan hari terbunuhnya Saidina Hussain, cucu Rasulullah ialah pemimpin pemuda menghuni syurga.

Bagi kita yang mengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah, hendaklah menghindarkan diri daripada kedua-dua perlakuan di atas. Sebaliknya, mencontohi sunnah Nabi SAW dalam berpuasa. Kita digalakkan berpuasa pada hari Tasu’a (kesembilan) dan hari ‘Asyura.

Berpuasa hari Tasu’a juga bertujuan membezakan de­ngan puasa golongan Yahudi. Daripada Ibn Abbas r.a berkata (maksudnya): “Ketika Rasulullah SAW berpuasa pada hari ‘Asyura, Baginda turut mengarahkan orang ramai supaya turut berpuasa. Lalu mereka berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya hari ini adalah hari yang dibesarkan oleh kaum Yahudi dan Nasrani. Lalu Rasulullah SAW bersabda lagi: “Sekiranya di tahun depan, jika diizinkan Allah, kita akan berpuasa pada hari kesembilan.” Ibn Abbas berkata: Tidak sempat munculnya tahun hadapan, Rasulullah SAW wafat terlebih dahulu”. (Riwayat Muslim)

No comments:

Post a Comment