Friday 21 October 2016

Orang awam Mosul diutamakan




PASUKAN Antikeganasan elit Iraq mara ke arah Mosul. - AP


Paris: Perdana Menteri Iraq semalam berazam melindungi orang awam yang melarikan diri daripada pertempuran untuk menyingkir Daish dari Mosul, dalam pada serangan semakin dipertingkat di bandar itu.

Haider Al-Abadi membayangkan kemungkinan Mosul berjaya ditawan semula lebih awal daripada jangkaan.

“Pasukan-pasukan terbabit semakin mara dengan kadar lebih cepat daripada dijangka,” katanya.

Dia turut memberi jaminan pihaknya menyediakan sokongan untuk penduduknya yang kini menjadi pelarian dalaman.

“Kami tidak akan membenarkan sebarang pelanggaran hak asasi manusia dan laluan akan terus dibuka untuk orang awam yang mahu melarikan diri dalam pada operasi ketenteraan dilaksanakan.

“Walaupun kami mendapat sokongan luar, operasi ini diketuai kami sendiri dan bukannya negara lain,” katanya.

Presiden Perancis, Francois Hollande yang menjadi tuan rumah untuk persidangan mengenai Mosul menggesa masyarakat antarabangsa supaya tidak mengabaikan bandar itu sebaik operasi ketenteraan di situ berakhir.

Diplomat dari Amerika Syarikat (AS), Iraq dan 20 negara lain berhimpun di Paris untuk membuat perancangan bagi melindungi orang awam, menghantar bantuan dan membincangkan isu berhubung pentadbiran di kawasan yang baru dibebaskan daripada cengkaman Daish.

Serangan membebaskan Mosul - bandar kedua terbesar Iraq - dijangka mengambil beberapa minggu atau bulan dan dibimbangi turut mencetuskan perbalahan antara orang Sunii serta Syiah di rantau yang melihat keganasan sejak beberapa dekad lalu.

Sementara itu, Menteri Luar Perancis Jean-Marc Ayrault memberi amaran sehingga sejuta orang mungkin berusaha meninggalkan Mosul dan pihak berkuasa perlu memastikan golongan pelampau tidak menyelinap dalam kumpulan orang awam.

“Masyarakat dunia juga mesti memikirkan langkah seterusnya selepas Daish diusir, paling penting membabitkan kubu kuat kumpulan itu di Raqqa,” katanya. - AP
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Oktober 2016 @ 10:58 AM

No comments:

Post a Comment