Saturday 29 October 2016

Mekah diancam peluru berpandu






PELURU berpandu pemberontak Houthi itu dipintas dan dimusnahkan sekitar 60 kilometer dari kota suci Mekah. – Gambar hiasan.

RIYADH – Pemberontak Houthi Yemen melancarkan serangan peluru berpandu paling jauh di Arab Saudi apabila sebuah misilnya dipintas dekat kota suci Mekah, kata pakatan tentera diketuai Arab Saudi semalam.

Tentera pakatan Arab Saudi melancarkan operasi mengebom pembe­rontak Houthi sejak Mei tahun lalu.

Arab Saudi menggunakan peluru berpandu Patriot untuk memusnahkan misil pemberontak itu.

Tentera pakatan berkata, pemberontak Houthi melancarkan sebuah peluru berpandu ke arah kawasan Mekah petang kelmarin dari kubu kuat mereka di wilayah Saada, berhampiran sempadan Arab Saudi-Yemen.

“Sistem pertahanan udara berjaya memintas dan memusnahkan peluru berpandu itu kira-kira 65 kilometer dari Mekah tanpa sebarang kerosakan" kata kenyataan tersebut.

Laman web pemberon­tak Houthi, sabanews melaporkan bahawa mereka menembak peluru berpandu balistik ke arah Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz di Jeddah, barat Mekah.

Kota suci Mekah terletak lebih 500 kilometer dari sempadan Arab Saudi-Yemen.

Ini kali kedua pada bulan ini pemberontak Houthi melancarkan peluru berpandu pada jarak sebegitu jauh.

Pada 9 Oktober lalu, pakatan tentera Arab Saudi menyatakan, pihaknya memintas sebuah peluru berpandu dekat Taif, lokasi pangkalan udara Arab Saudi yang terletak sekitar 65 kilometer dari Mekah.

Peluru berpandu itu dilancarkan sehari selepas serangan udara tentera pakatan membunuh lebih 140 orang yang menghadiri majlis pengebumian bapa kepada seorang ketua pemberontak di ibu kota Yemen, Sanaa sekali gus mendorong serangan balas dendam. – AFP



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1029&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz4OWU9lR5V
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment