Friday 28 October 2016

MISI PERDAGANGAN KE IRAN BERJAYA


SOFIAN BAHAROM  |  28 Oktober 2016 6:20 PM
MUSTAPA Mohamed ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Peluang

MUSTAPA Mohamed ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Peluang Perdagangan dan Pelaburan di Malaysia pada seminar anjuran Dewan Perdagangan, Industri, Perlombongan dan Pertanian Iran (ICCIMA), di Teheran, Iran baru-baru ini. UTUSAN
MESYUARAT bila­teral antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Iran, Dr. Hassan Rouhani di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya pada 7 Oktober lalu mahu perdagangan kedua-dua negara dipertingkatkan berkali-kali ganda.

Ini terutama apabila sekatan-sekatan antarabangsa yang dikenakan terhadap Iran ditarik balik pada Januari lalu selepas badan pemantau nuklear Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan republik tersebut telah melaksanakan semua langkah yang terkandung dalam perjanjian nuklear terhadap negara berkenaan. Sekatan-sekatan itu menyebabkan perdagangan Malaysia-Iran berkurangan separuh daripada apa yang dicapai sebelum ini.

Menurut Najib, antara perkara yang dibincangkan dalam mes­yua­rat berkenaan adalah usaha untuk memperkukuhkan eksport minyak sawit ke Iran de­ngan pembukaan pejabat seranta Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di Teheran serta kunjungan delegasi Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komo­diti ke negara itu.

Dengan Iran pernah mengimport sebanyak 4,000 unit kereta Proton Saga sebelum ini, beliau berharap perdagangan dalam sektor automotif antara Malaysia dengan Iran dapat dirancakkan kembali. Sekatan antarabangsa yang dikenakan terhadap Iran sebelum ini turut menjejaskan hubungan industri pelancongan kedua-dua negara.

Meskipun Malaysia dengan Iran mempunyai perbezaan dari segi fahaman dan mazhab, perkara berkenaan tidak menjejaskan kerjasama kedua-dua negara dalam platform antarabangsa dan negara-negara Islam untuk ke­amanan serta kestabilan sejagat. Oleh itu, bertitik tolak daripada mesyuarat tersebut, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri telah menggerakkan Misi Perdagangan dan Pelaburan ke Teheran pada 22 dan 23 Oktober lalu yang diketuai Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Misi tersebut juga melibatkan lebih daripada 10 syarikat Malaysia yang diberikan platform untuk menjalin kerjasama dengan pihak industri di Iran menerusi seminar serta pertemuan tertentu ter­masuk melalui Dewan Perniagaan, Industri, Perlombongan dan Pertanian Iran (ICCIMA).

“Misi ini adalah bagi melihat peluang-peluang lain yang wujud untuk kita import dari Iran dan dikatakan ada peluang dalam industri simen dan besi keluli. Iran adalah negara yang mengeluarkan bahan-bahan ini dan dieksport ke luar negara.

“Jadi, kalau kita tengok sekarang ini, perdagangan antara ke­dua-dua negara tidak seimbang. Iran membeli lebih banyak dari kita terutama minyak sawit. Kita pula tidak beli banyak daripada mereka jadi, perkara ini perlu diseimbangkan,” katanya kepada Utusan Malaysia yang turut mengikuti misi dua hari tersebut.

Mustapa memberitahu, Iran mempunyai potensi cukup besar dalam perdagangan dengan keupayaan republik itu mengeluarkan empat juta tong minyak sehari. Republik itu juga mampu mengeluarkan sehingga enam juta tong minyak sehari tetapi perkara tersebut memerlukan lebih banyak pelaburan.

“Sebab itulah syarikat-syarikat Malaysia seperti Petronas dan BIV Global berminat untuk menyertai pembangunan di Iran. Kita lihat ada potensi besar di sini kerana Iran ini negara yang besar dengan 80 juta rakyat serta pendapatan per kapita mereka juga lebih tinggi daripada kita.

“Dalam masa sama, Iran adalah negara sumber yang kaya dalam industri pertanian, galian serta minyak dan gas selain kepakaran sains dan teknologi,” katanya.

Pada misi berkenaan, Mustapa bertemu dengan pemimpin-pemimpin kerajaan republik itu iaitu Naib Presidennya, Eshaq Jahangiri; Menteri Industri, Perlombongan dan Perdagangan, Mohammad Reza Namatzadeh; Menteri Petroleum, Bijan Namdar Zangeneh dan Menteri Komunikasi dan Teknologi Maklumat, Mahmoud Vaezi.

“Nampaknya berdasarkan pertemuan itu, ada goodwill dan mereka berminat dengan kerjasama ini kerana Malaysia dan Iran adalah negara Islam jadi, kita akan terus tingkatkan hubungan ekonomi kedua-dua negara.

“Dalam pada itu, kita juga buka lihat ekonomi sahaja tetapi juga dalam bidang pelancongan dan pendidikan tinggi. Kita pernah ada 15,000 pelajar di Iran sekarang 5,000, jadi kita hendak tambahnya semula,” kata Mustapa.

Lebih menarik lagi, pihak Iran menyatakan keterbukaan untuk menandatangani satu perjanjian perdagangan bebas (FTA) de­ngan Malaysia yang bermaksud, kedua-dua negara bakal memiliki kelebihan dalam urusan import eksport barangan termasuk pe­ngurangan cukai.

Selain sesi pertemuan-pertemuan itu, turut diadakan adalah seminar perniagaan melibatkan syarikat-syarikat kedua-dua negara anjuran ICCIMA.

Beliau pada seminar berkenaan membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Peluang Perdagangan dan Pelaburan di Malaysia’ dalam usaha mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan bagi syarikat-syarikat dari republik berkenaan.

Seminar tersebut menyaksikan kejayaan yang membanggakan apabila sebanyak RM 64.87 juta nilai potensi pasaran Malaysia-Iran telah berjaya dimuktamadkan hasil daripada 65 mesyuarat melibatkan 32 syarikat dari republik itu dan 13 syarikat Malaysia. Nilai tersebut merangkumi perniagaan berkaitan kerja-kerja pemeriksaan saluran paip, per­khidmatan kejuruteraan, sistem kawalan dan perkhidmatan mi­nyak dan gas.

Mustapa menjelaskan, kerajaan mengalu-alukan syarikat-syarikat Malaysia menyertai bidang minyak dan gas di republik ini dengan syarat, mereka perlu tertakluk kepada syarat-syarat yang dikenakan di sini.

Menurut beliau, syarikat automotif negara, Proton Hol­ding Bhd. (Proton) yang pernah mempunyai sejarah perniagaan di republik ini juga kini sedang mengenal pasti rakan kongsi baharunya di sini.

“Proton hendak menjadikan Iran sebagai batu loncatan untuk memperkembangkan pasarannya di negara-negara sekitar seperti Turkimestan, Tajikistan dan sebagainya,” katanya.

Sebagai rangkuman, Mustapa menganggap misi dua hari itu sebagai berjaya dalam usaha mempertingkatkan perdagangan Malaysia-Iran. Secara keseluruhan, misi tersebut menghasilkan prospek yang positif dalam perhubungan perdagangan kedua-dua negara.

No comments:

Post a Comment