Saturday 8 October 2016

Negara Islam perlu bersatu perangi kekerasan, keganasan


08 Oktober 2016 7:38 PM
KUALA LUMPUR 8 Okt. - Presiden Iran Dr Hassan Rouhani semasa mengadakan

KUALA LUMPUR 8 Okt. - Presiden Iran Dr Hassan Rouhani semasa mengadakan pertemuan bersama komuniti rakyat Iran di Malaysia dalam lawatan kerjanya dua hari bermula semalam, hari ini. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR 8 Okt. - Presiden Iran Dr Hassan Rouhani menggesa semua negara Islam mengetepikan sebarang perbezaan untuk bersatu memerangi kekerasan dan keganasan.

Beliau berkata negara-negara Islam perlu mencari titik persamaan dan nilai-nilai bersama bagi mempertahan agama Islam, yang kini dilihat sebagai menggalakkan ekstremisme.

"Mereka menyatakan Islam itu ekstrem...pengganas telah merosakkan imej Islam. Islam adalah agama yang cukup sederhana dan cintakan keamanan termasuk golongan Syiah dan Sunni.

"Di Iran, mereka berbeza agama dapat hidup dengan aman dan harmoni," katanya menerusi penterjemah pada pertemuan dengan saintis, intelektual dan pemimpin media Malaysia di sini, hari ini.

Turut hadir Presiden Gerakan Antarabangsa untuk Dunia Keadilan (JUST) Dr Chandra Muzaffar, Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Tan Sri Rastam Mohd Isa dan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Azman Ujang.

Rouhani juga berkata para pemimpin Islam perlu menonjolkan kesederhanaan dan ajaran Islam yang sebenarnya.

Beliau berkata adalah penting untuk generasi muda mengetahui nilai sebenar Islam dan tidak mudah dimanipulasikan oleh kumpulan pengganas.

"Pengganas berjaya menggunakan teknologi komunikasi seperti media sosial yang mampu memberi kesan kepada minda generasi muda kita," katanya.

Dalam pada itu, Rouhani menggesa negara Islam untuk memberi penekanan kepada pembangunan ekonomi, selain sains dan teknologi untuk membina negara Islam yang lebih kukuh.

Kemiskinan dan kurangnya ilmu pengetahuan adalah antara faktor yang mudah mempengaruhi minda orang Islam untuk terlibat dengan ektremisme dan keganasas, katanya.

Rouhani kini dalam rangka lawatan sulung dua harinya ke Malaysia bermula semalam, sejak menyandang jawatan presiden Iran pada 2013.

Lawatan ke Malaysia adalah sebahagian daripada program Jelajah Asia Tenggara Rouhani termasuk Vietnam dan Thailand.

Ia bertujuan memperakukan dan mengukuhkan lagi hubungan dua hala yang erat di antara Malaysia dan Iran.

Sementara itu, Chandra menyambut baik gesaan supaya semua negara Islam bersatu menangani ekstremisme dan keganasan.

"Rouhani sudah menjelaskan bahawa Iran tidak menyokong kekerasan dan keganasan. Hanya sebilangan kecil rakyat Iran yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas," katanya.

Chandra juga berharap agar lebih banyak program diadakan di antara Malaysia dan Iran termasuk dalam bidang penyelidikan pendidikan, sains, teknologi, pelabur perdagangan, kebudayaan dan pelancongan.- BERNAMA

No comments:

Post a Comment