Sunday 9 October 2016

Dunia Islam perlu bersatu – Presiden Iran


Tentang segala bentuk keganasan

MUSTAFA KAMAL BASRI  |  09 Oktober 2016 1:03 AM
Hassan Rouhani (dua dari kanan) ketika mesyuarat bersama sarjana,


Hassan Rouhani (dua dari kanan) ketika mesyuarat bersama sarjana, saintis dan pemimpin media Malaysia di Kuala Lumpur semalam. MINGGUAN/FAUZI BAHARUDIN
KUALA LUMPUR 8 Okt. Presiden Republik Islam Iran, Dr. Hassan Rouhani menyeru semua negara Islam menentang segala bentuk keganasan dan kekerasan dan bersatu bagi menjadikan Islam sebagai agama yang kuat.

Beliau berkata, negara-negara Islam perlu mengetepikan faha­man berpuak-puak dan per­be­zaan kerana ia boleh melemahkan Islam.

“Sejak beberapa dekad yang lalu, dunia Islam dilanda pelbagai masalah termasuk budaya, ekonomi dan politik sehingga menyebabkan umat Islam terjebak dengan keganasan,” kata­nya semasa berucap pada pertemuan dengan sarjana, saintis dan pemimpin media Malaysia di sini hari ini sempena lawatannya ke Malaysia.

Menurutnya, dunia Barat ditonjolkan sebagai hegemoni dan menguasai dunia dalam segala bidang termasuk ekonomi, budaya serta sains dan teknologi, sebaliknya dunia Islam terjebak dalam keganasan dan berbunuh-bunuhan sesama sendiri atas na­ma jihad.

“Pengganas telah merosakkan imej Islam, sedangkan Islam adalah agama yang mengan­jurkan kesederhanaan dan cinta­kan keamanan termasuk pe­ngikut Syiah dan Sunnah,” katanya menerusi penterjemah pada pertemuan itu.

Menurutnya, Islam kini menjadi cemuhan dan umat Islam bukan sahaja dikaitkan dengan keganasan tetapi juga menjadi mangsa keganasan.

“Sebenarnya keganasan tidak ada kena mengena dengan Islam,” katanya.

Beliau berkata, negara-negara Islam perlu mencari titik persamaan dan nilai-nilai bersama bagi mempertahankan Islam yang kini dilihat sebagai menggalakkan ekstremisme.

Turut hadir Presiden Gerakan Antarabangsa untuk Dunia Ke­adilan (JUST), Dr. Chandra Mu­zaffar; Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), Tan Sri Rastam Mohd. Isa dan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Seri Azman Ujang.

Rouhani berkata, pemimpin Islam perlu menonjolkan kese­der­hanaan dan ajaran Islam yang sebenarnya.

Katanya, sarjana dan ulama juga perlu memainkan peranan bagi melengkapkan generasi muda Islam dengan pengetahuan dalam bidang sains dan teknologi bagi mengelakkan mereka terjebak dengan keganasan dan tidak mudah dimanipulasikan oleh kumpulan pengganas.

“Pengganas berjaya menggunakan teknologi komunikasi seperti media sosial yang mampu mempengaruhi minda generasi muda kita,” katanya.

Rouhani dalam rangka lawatan sulung dua harinya ke Malaysia bermula semalam, sejak menyandang jawatan Presiden Iran pada 2013.

Lawatan ke Malaysia adalah sebahagian daripada program Jelajah Asia Tenggara Rouhani termasuk Vietnam dan Thailand.

Rouhani juga menegaskan ba­hawa Iran tidak menyokong ke­ganasan.

“Hanya segelntir rakyat Iran yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia dan Iran mengamalkan fahaman kesederhanaan dalam Islam bagi memastikan Islam maju dan membawa kesejahteraan.

No comments:

Post a Comment