Serangan selama kira-kira 10 minit menggunakan mesingan itu berlaku di pekan Balad, yang didiami majoriti pengikut Syiah, kira-kira 80 kilometer dari Baghdad.
Sumber keselamatan berkata, be­­­berapa jam kemudian, seorang pengebom berani mati, pula meletupkan dirinya berdekatan sebuah pasar menyebabkan dua orang terbunuh dan dua orang lagi cedera parah.
Tidak ada pihak mengaku bertanggungjawab dalam serangan di wilayah yang dikuasai kumpulan militan Negara Islam (IS) sejak 2014 itu.
Menurut sumber polis, kumpulan pen­yerang itu dikatakan melepasi tiga sekatan polis sebelum melancarkan serangan itu.
Pihak berkuasa telah dikerahkan untuk berkawal di sekitar pekan itu bagi mengelakkan berlaku serangan lanjut.
Sumber risikan berkata, puak pelampau dari sebuah organisasi Badr yang diskong Iran menyerbu sebuah rumah dan menahan 13 ahli keluarga pengikut Sunnah.
Dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa Iraq dikritik berikutan kawalan keselamatan yang longgar sehingga membolehkan pengebom berani mati memasang tiga butir bom di Baghdad pada Rabu lalu yang membunuh sekurang-ku­rangnya 80 orang, insiden keganasan terburuk di Iraq sepanjang tahun ini. – REUTERS
Iraq juga dilihat berdepan krisis politik ekoran rombakan kabinet yang dilihat melumpuhkan kerajaan selama berminggu-minggu.
Pertempuran antara pelampau Sunni dan Syiah juga semakin memburukkan lagi konflik di Iraq yang tercetus selepas pencerobohan Ame­rika Syarikat (AS) pada 2003. – REUTERS