Menteri Hajinya, Mohammed Bentin berkata, apa yang berlaku adalah perwakilan pengurusan haji dari Iran sebelum ini didapati enggan menandatangani satu perjanjian standard dengan Arab Saudi.
Tegas beliau, perjanjian stan­dard itu merupakan satu kemestian kepada semua negara yang menghantar jemaah mereka.
“Iran telah menuntut beberapa keistimewaan termasuk syarikat penerbangan Iran dan Arab Saudi perlu berkongsi sama rata dalam membawa jemaah haji selain kemudahan mendapatkan visa Arab Saudi di Iran.
“Tetapi kita (Arab Saudi) hanya mengeluarkan visa kepada jemaah Iran melalui kedutaan di Dubai,” katanya dalam satu kenyataan seperti dipetik saluran Ekhbariya.
Arab Saudi sebelum ini memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran setelah Teheran gagal melindungi Kedutaan Arab Saudi di negara itu ketika tunjuk perasaan membantah tindakan Riyadh menghukum mati seorang ulama Syiah, awal tahun ini.
Mohammed menambah, seba­nyak 78 buah negara termasuk Iran dikehendaki menghantar perwakilan pengurusan haji untuk memuktamadkan penyelarasan jemaah haji masing-masing.
“Iran merupakan satu-satunya negara yang enggan menanda­tangani perjanjian tentang haji dan tuntutan mereka kami tidak dapat terima,” ujar beliau.
Terdahulu, Iran mengumumkan untuk melarang rakyat negara itu daripada mengerjakan haji tahun ini.
Menteri Kebudayaan Iran, Ali Jannati berkata, hal demikian kerana Arab Saudi gagal menyelesaikan isu-isu keselamatan selepas perbincangan yang memakan tempoh beberapa bulan.