NAYPYIDAW - MYANMAR . Ketua komander Myanmar berkata tentera telah menjalankan kewajipannya di bawah pimpinan kerajaan awam yang baharu dipilih, sekali gus berhasrat meredakan kebimbangan terhadap ketegangan antara mereka.
"Kami tidak mempunyai sebarang sebab untuk menolak kepimpinan kerajaan awam dipilih," menurut Jeneral Kanan Min Aung Hlaing dalam satu sidang akhbar di ibu pejabat tentera di ibu negara, kelmarin.
Difahamkan, junta memerintah negara itu hampir 50 tahun sebelum menyerahkan kerajaan untuk dipimpin pegawai bersara pada tahun 2011 yang kemudiannya mengadakan pilihan raya pada November lalu.
Parti Liga Kebangsaan Bagi Demokrasi (NLD) pimpinan pro demokrasi Aung San Suu Kyi memenangi pilihan raya berkenaan dan mengambil alih kerajaan pada April lalu selepas peralihan kuasa dengan junta.
Tentera mengekalkan peranan politik penting dengan penguasaan tiga kementerian keselamatan dan memegang satu perempat daripada kerusi di Parlimen yang memberinya kuasa veto terhadap perubahan Perlembagaan. - Reuters