Moqtada bulan lalu mengeluarkan kenyataan mengutuk keras jenayah rasuah ketika sidang akhbar di Najaf, selain memberi amaran pengikutnya akan menyerang bangunan Parlimen.
Dalam kejadian itu, penunjuk perasaan melaungkan slogan mengagungkan pemimpin mereka sambil menyatakan mahu menghapuskan segala jenayah rasuah melibatkan ahli politik di negara ini.
“Kamu tidak akan kekal di sini! Ini adalah hari terakhir kamu di Zon Hijau (Parlimen),” kata seorang penunjuk perasaan itu.
Zon Hijau adalah kawasan seluas 10 kilometer persegi di daerah Karkh, tengah Baghdad yang dikawal ketat kerana menempatkan Istana Presiden, pejabat Perdana Menteri dan beberapa kedutaan termasuk Kedutaan Amerika Syarikat dan Britain.
Keganasan bermula apabila penunjuk perasaan meruntuhkan kawat berduri di sebatang jalan menuju Zon Hijau sebelum cuba menghalang beberapa anggota Parlimen yang panik dan mahu melarikan dari lokasi berkenaan.
Penunjuk perasaan turut mero­sakkan beberapa kenderaan dipercayai milik anggota Parlimen sebelum mereka kemudian berundur meninggalkan Parlimen dan meneruskan bantahan di Dataran Ihtifalat di luar Zon Hijau.
Walaupun anggota keselamatan berada di Zon Hijau, mereka tidak mengambil sebarang tindakan ke atas penunjuk perasaan.
Enam jam selepas kejadian tersebut, Perdana Menteri, Hai­der al-Abadi berkata, situasi di Baghdad berada dalam keadaan terkawal dan menggesa penunjuk perasaan supaya berundur.
Dalam perkembangan sama, pegawai Kementerian Dalam Ne­geri memaklumkan, pintu masuk utama ke Baghdad ditutup sementara waktu, dan langkah-langkah telah diambil untuk melindungi bank pusat dan lapangan terbang.
Katanya, pasukan keselamatan telah mengambil langkah berjaga-jaga kerana puluhan ribu pengikut setia Syiah akan berkampung di Baghdad untuk menghadiri satu perhimpunan tahunan. – AFP