Wednesday 2 November 2016

Yemen makin kritikal


Majoriti penduduk hampir kebuluran, perlukan bantuan kemanusiaan

02 November 2016 1:03 AM
Seorang jururawat menimbang  berat budak lelaki yang mengalami

Seorang jururawat menimbang berat budak lelaki yang mengalami kekurangan zat makanan di Sanaa, Yemen. REUTERS
NEW YORK 1 Nov. - Peperangan di Yemen telah menyebabkan ‘malapetaka’ kepada 21 juta penduduknya yang kini amat memerlukan bantuan kemanusiaan, kata Setiausaha Agung bagi Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Stephen O’Brien.

O’Brien memberitahu Majlis Keselamatan bahawa 80 peratus daripada 21.2 juta penduduk Yemen amat memerlukan bantuan itu.

Katanya, ini termasuk lebih dua juta penduduk yang menderita akibat kekurangan zat makanan malah negara itu kini menghampiri kebuluran.


Menurut O’Brien, keganasan yang bermula 19 bulan lalu telah merampas kehidupan, harapan dan hak untuk hidup dengan bermaruah rakyat Yemen.

“Beribu-ribu dibunuh dan cedera malah lebih tiga juta penduduk Yemen dipaksa me­ninggalkan tanah air mereka dan tujuh juta lagi menderita diasak dengan ketakutan setiap hari kerana tidak tahu dari mana bekalan makanan akan diperoleh,’’ kata O’Brien.

Beliau mendesak pihak-pihak yang terlibat dalam pe­perangan itu untuk mencapai persetujuan keamanan dalam usaha menyelamatkan saki baki infrastruktur, ekonomi dan perkhidmatan sosial negara berkenaan.

Majlis Keselamatan PBB juga berusaha menekan kumpulan pemberontak Syiah Houthi yang disokong Iran dan kerajaan Yemen yang disokong Arab Saudi supaya menamatkan peperangan itu.

Utusan khas PBB di Yemen, Ismail Ould Cheikh Ahmed memberitahu majlis berkenaan, beliau akan kembali ke negara itu untuk mendapatkan ke­sepakatan melalui perjanjian itu dengan segera.

Presiden Yemen, Abd. Rabu Mansour Hadi pada hari Sabtu lalu menolak rancangan PBB untuk menamatkan pe­perangan itu.

Abd. Rabu yang menetap di Riyadh berkata, rancangan PBB itu hanya memberi ‘ganjaran’ kepada kumpulan pembe­rontak Syiah Houthi dan meng­hukum penduduk Yemen dan pentadbiran yang sah.

Sekurang-kurangnya 4,125 orang awam terbunuh di Yemen sejak kempen serangan udara Arab Saudi terhadap kumpulan tersebut bermula bulan Mac tahun lalu. – DPA

No comments:

Post a Comment