Tuesday 1 November 2016

Pemberontak Syiah Houthi lancar peluru berpandu dari masjid?


01 November 2016 1:07 AM
PIHAK berkuasa Arab Saudi mengumpul serpihan daripada peluru berpandu

PIHAK berkuasa Arab Saudi mengumpul serpihan daripada peluru berpandu balistik yang dipintas 65 kilometer dari Mekah, baru-baru ini. AGENSI
RIYADH 31 Okt. – Serangan kumpulan pemberontak Syiah Houthi ke atas Arab Saudi pada Khamis lalu dengan menyasarkan kota suci Mekah dilancarkan dari sebuah masjid di bandar Saada, Yemen.

Jurucakap tentera perikatan yang diketuai Arab Saudi, Brigedier Jeneral Ahmed Assiri ketika mendedahkan perkara itu berkata, serangan berkenaan menunjukkan kumpulan pemberontak terbabit sama sekali tidak mempunyai pengetahuan agama dan tidak bermoral.

“Mereka menggunakan masjid, sekolah dan hospital bagi melakukan perbuatan jenayah,” katanya yang juga Penasihat kepada Menteri Pertahanan Arab Saudi sebagaimana lapor Saudi Gazette.

Houthi cuba menyerang Mekah dengan melancarkan peluru berpandu yang berjaya dipintas dan dimusnahkan tentera Saudi kira-kira 65 kilometer dari tanah suci itu.

Ahmed pada masa sama meng­ulangi pendirian pakatan itu yang akan terus menyokong Presiden Yemen, Abdrabbuh Mansour Hadi dari segi politik dan ketenteraan.

Namun ujarnya, kumpulan pemberontak itu masih meneruskan usaha memasuki wilayah Saudi dan melancarkan serangan peluru berpandu.

“Untuk itu kami akan sentiasa bersedia untuk mematahkan serangan tersebut,” jelasnya.

Sementara itu, sumber dari Yemen yang mengetahui serangan berkenaan berkata, kepimpinan Houthi menggalakkan serangan ke atas Mekah dan ‘mendidik’ pengikutnya bagaimana untuk menyusup masuk kota suci ber­kenaan.

Menurut Timbalan Ketua Turus Tentera Yemen, Mejar Jene­ral Naser al-Taheri, kumpulan Houthi mengambil kesempatan daripada gencatan senjata de­ngan membawa masuk senjata dan peluru berpandu dari Iran.

No comments:

Post a Comment