Thursday 24 November 2016

SAR Iran 
giat kesan 
dua pendaki Malaysia


24 November 2016 12:44 AM
 
KUALA LUMPUR 23 Nov. – 
Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) Iran kini giat menjalankan misi mengesan dua pendaki Malaysia yang dilaporkan hilang di Gunung Damavand di negara itu sejak Isnin lalu.

Ketua ekspedisi pendakian tersebut, Rozaimi Md. Said berkata, dua pendaki berkenaan, Ramli Abdul Majid (gambar), 44, dan Syed Redzuan Syed Salim Shatri, 50, masih gagal dikesan selepas terpisah daripada ahli kumpulan lain ketika mahu meneruskan pendakian ke puncak.

“Pihak kedutaan Malaysia di Iran turut sama memantau dan sebarang perkembangan lanjut mengenai status mereka akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya yang berada di Iran kepada Utusan Malaysia menerusi aplikasi WhatsApp, hari ini.

Menurutnya, seramai 12 pendaki memulakan ekspedisi pada hari itu dan lapan daripadanya cuba mendaki ke puncak dari Kem 3 yang berada pada ketinggian 4,200 meter dari aras laut.

“Ketika itu cuaca agak baik namun enam pendaki turun semula ke Kem 3 antara pukul 12 tengah hari dan 2 petang setelah mendaki sehingga ke paras 5,100 meter atas faktor kesuntukan waktu untuk tiba ke puncak.

“Bagaimanapun Ramli dan Syed Redzuan membuat keputusan untuk menyertai pergerakan seorang pendaki Turki walaupun pada ketika itu mereka dinasihatkan turun semula ke Kem 3,” katanya.

No comments:

Post a Comment