Saturday 5 November 2016

Dua beranak disyaki pengintip dijel


KES PILIHAN MINGGU INI

SUSUNAN AMIRUDDIN HARUN  |  05 November 2016 12:07 AM
PENJARA Evin di luar Tehran dalam foto yang dirakam pada 2004,

PENJARA Evin di luar Tehran dalam foto yang dirakam pada 2004, menempatkan banduan-banduan termasuk ahli perniagaan Iran-Amerika, Siamak Namazi. npr.org/Getty Images
AMERIKA SYARIKAT (AS) telah mendesak pihak berkuasa Iran segera membebaskan dua beranak yang memiliki dwi kerakyatan Iran dan Amerika daripada hukuman penjara 10 tahun kerana didakwa menjadi pengintip kepada AS.

Timbalan jurucakap Jabatan Negara AS, Mark Toner berkata, Baquer Namazi dan anak lelakinya, Siamak Namazi telah ‘ditahan secara salah’ di Iran.

Hukuman tersebut merupakan kes terbaharu terhadap individu memiliki dua kerakyatan seperti yang diarahkan oleh pihak berkuasa dalam badan kehakiman dan pasukan keselamatan di Iran, akibat daripada perjanjian bersejarah nuklear dengan AS dan kuasa-kuasa besar dunia tahun lalu.

Washington dan Tehran tidak mempunyai hubungan diplomatik secara rasmi sejak Revolusi 1979 sewaktu dinasti Pahlavi di bawah pemerintahan Mohammad Reza Shah Pahlavi yang disokong oleh AS digulingkan.

Menurut laporan media di negara republik Islam itu, Siamak yang merupakan ahli perniagaan berusia pertengahan 40-an, ditahan oleh Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) pada Oktober 2015 semasa mengunjungi sanak-saudara mereka di Tehran.

Pada Februari lalu, IRGC menahan bapa lelaki itu, Baquer Namazi, 80, yang merupakan bekas gabenor wilayah di Iran dan bekas pegawai Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF).

Kedua-dua beranak terbabit dihukum penjara setelah dituduh menjadi pengintip dan bekerjasama dengan kerajaan AS, menurut pendakwa raya Tehran, Abbas Jafari Dolatabadi, seperti yang dipetik daripada portal berita Fars, tanpa memperincikan bila sebenarnya hukuman itu dijatuhkan.

Babak Namazi iaitu abang kepada Siamak menyifatkan hukuman itu sebagai tidak adil.

“Bapa saya boleh dikatakan dikenakan hukuman mati,” kata Babak dalam satu kenyataan.

Baquer mempunyai masalah jantung dan pelbagai masalah kesihatan lain yang memerlukan rawatan khusus, kata isterinya dalam laman sosial Facebook pada Februari lalu.

Pada 18 Oktober lalu, UNICEF menggesa pembebasan Baquer atas ‘alasan kemanusiaan’.

“Kami menyertai desakan organisasi antarabangsa dan pakar-pakar hak asasi manusia Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) agar membebaskan semua warganegara AS yang ditahan secara salah di Iran, termasuk Siamak dan Baquer Namazi. Ini supaya mereka dapat pulang ke pangkuan keluarga masing-masing,” menurut Toner.

Laporan agensi berita Mizan pula berkata, seorang pemastautin tetap AS dari Lebanon, Nizar Zakka, juga menerima hukuman penjara 10 tahun.

Penyokongnya sebelum ini memberitahu agensi berita The Associated Press (AP) mengenai hukuman tersebut, walaupun laporan Mizan itu merupakan pengesahan rasmi yang pertama oleh kerajaan Iran mengenai hal berkenaan.

Laporan tersebut menyatakan dua lagi turut disabitkan dengan hukuman, tanpa menamakan mereka atau mengenal pasti kerakyatannya.

Pada 18 Oktober lalu, berita agensi separuh rasmi, Fars memetik pendakwa raya Tehran, Abbas Jafari Dolatabadi sebagai berkata, tiga warga Iran dihukum penjara 10 tahun kerana ‘pengintipan dan bekerjasama dengan kerajaan AS’.

Beliau menamakan mereka sebagai Farhad Abdesaleh, Kamran Ghaderi dan Alireza Omidvar, tanpa mengulas lanjut.

Adalah tidak jelas sekiranya mereka mempunyai peguam bela atau jika mereka antara dua individu terdahulu yang disebut oleh Mizan.

Keluarga Namazi melarikan diri selepas Revolusi Islam 1979, tetapi memiliki hubungan perniagaan di Iran, dan Siamak pula telah beberapa kali berkunjung ke Iran.

Beliau juga telah menulis beberapa artikel menggesa meningkatkan ikatan antara Iran dan AS, dan mendesak rakyat Iran-Amerika untuk bertindak sebagai jambatan antara kedua-dua kerajaan.

No comments:

Post a Comment