Thursday 10 November 2016

Abu Jandal terbunuh




ABU Jandal

Agensi
Jakarta: Seorang komander Daish warga Indonesia, Salim Mubarok Attamimi dilaporkan terbunuh dalam pertempuran dengan tentera kerajaan di Mosul, Iraq.

Timbalan Ketua Kerjasama Antarabangsa di Badan Pencegahan Pengganas Nasional Indonesia (BNPT), Petrus Golosse berkata, ada maklumat yang mengatakan Salim atau dikenali sebagai Abu Jandal maut dalam pertempuran di Iraq.

Bagaimanapun, katanya, maklumat mengenai kematian Abu Jandal itu yang tersebar di Internet masih belum dapat disahkan.

“Kami harus memeriksa mayatnya, membuat pengesahan cap jari, DNA dan pemeriksaan lain yang berkaitan.

“Selagi proses itu belum dilakukan kami tidak boleh sahkan Abu Jandal sudah meninggal dunia,” katanya yang dipetik CNN Indonesia.

Menurutnya, BNPT sudah menghantar seorang wakil ke Iraq untuk mengesahkan maklumat berkenaan.

Abu Jandal pernah dilaporkan terbunuh dalam peperangan di Iraq pada 2015 tetapi berita itu kemudian dilaporkan palsu.

Polis menyatakan bahawa Abu Jandal bersama dua lagi komander Daish adalah warga Indonesia paling berpengaruh di Syria dan Iraq.

Dua komander Daish warga Indonesia, Bahrumsyah dan Bahrun Naim, dipercayai dalang serangan militan di Jakarta pada Januari lalu.

Serangan itu yang pertama dilancarkan Daish di Indonesia menyebabkan lapan maut termasuk empat penyerang.

Abu Jandal pernah muncul dalam satu rakaman video yang dimuat naik di Internet bagi mencabar tentera dan polis antipengganas Indonesia.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2016 @ 7:50 AM

No comments:

Post a Comment