Monday 7 November 2016

Syiah Houthi ‘alat’ Iran gugat rantau Teluk?


Lancar peluru berpandu ke Arab Saudi, jadikan tanah suci Mekah sebagai sasaran

MUHAMAD ZAID ADNAN  |  07 November 2016 12:04 AM

TANGGAL 27 Oktober lalu, dunia Islam dikejutkan dengan tindakan kumpulan pemberontak Syiah Houthi melancarkan peluru berpandu balistik ke Arab Saudi dengan menjadikan tanah suci Mekah sebagai sasaran.

Peluru berpandu jarak jauh dari jenis Burkan-1 itu bagaimanapun berjaya dipintas pasukan keselamatan Arab Saudi, iaitu pada jarak 65 kilometer dari Mekah menggunakan senjata antipeluru berpandu Patriot.

Serangan yang dianggap keterlaluan itu dikecam pelbagai pihak yang menyifatkannya sebagai provokasi dan perbuatan yang menggores perasaan 1.5 bilion umat Islam di seluruh dunia.


Namun begitu, serangan yang tidak diduga itu menimbulkan persoalan, siapa menjadi dalang membekalkan dan melatih Houthi menggunakan senjata secanggih Burkan-1 dengan pemberontak terbabit ketika ini menguasai sebahagian kawasan di Yemen serta terlibat meme­rangi tentera perikatan diketuai Arab Saudi.

Agensi berita SABA dalam laporannya pada 2 September lalu mendedahkan, tentera Yemen yang memerangi Arab Saudi memperkenalkan Burkan-1 yang merupakan versi ubahsuai peluru berpandu Scud dan mampu mencapai jarak lebih 800 kilometer dan membolehkan sebarang serangan sehingga ke Jeddah.

Malah, Hisham al-Halabi, pakar ketenteraan Mesir mendakwa, serangan itu tidak mungkin dilakukan pemberontak Syiah Houthi berdasarkan kemampuan terhad kumpulan ber­kenaan.

Pihaknya percaya peluru berpandu ba­listik itu dilancarkan oleh pakar Iran atau kumpulan militia yang setia kepada bekas Presiden Yemen, Ali Abdullah Saleh.

Arab Saudi kemudiannya menuduh Iran ‘membiayai dan melatih’ kumpulan Houthi memerangi kerajaan Yemen yang ditadbir Presiden dalam buangan, Abdrabbuh Mansour Hadi walaupun pembabitan secara terang-terangan Teheran masih gagal dibuktikan.

Dakwaan itu turut disokong kenyataan Perdana Menteri Ye­men, Ahmed Obeid Daghr yang mendakwa Iran telah melatih kira-kira 6,000 pejuang Houthi di negara berkenaan sekali gus membuka jalan kumpulan pemberontak tersebut mengangkat senjata menentang seteru politik dan kerajaan di Sanaa, sejak tahun lalu.

Pada masa sama, dakwaan pembabitan Iran dalam kumpulan pemberontak itu turut disokong Amerika Syarikat (AS) yang berjaya memintas empat penghantaran senjata dari Iran ke Yemen sejak April tahun lalu.

Antara peralatan yang berjaya dirampas adalah ribuan raifal AK-47, peluru berpandu anti­kereta kebal, raifal penembak hendap dan pelbagai kelengkapan serta sistem senjata canggih.

Laporan The Long War Journal baru-baru ini menyebut, sejak Julai lalu, media Iran memberi publisiti meluas penggunaan roket Iran, Zelzal-3 oleh kumpulan Houthi atau turut dikenali sebagai Ansar Allah walaupun senjata itu dihasilkan secara meluas di Yemen.

Walaupun pegawai terkenal kerajaan di Teheran menyokong kumpulan Houthi, namun mereka tetap menafikan dakwaan bahawa Iran memberi bantuan ketenteraan dalam kempen Houthi di Yemen.

Di sebalik kesamaran tentang tahap penguasaan Teheran ke atas Ansar Allah, namun pembabitan tentera Pengawal Revolusi Iran agak ketara apabila Houthi kerap mempamerkan dan menggunakan roket yang mempunyai nama dan nombor seperti roket Iran, sekali gus membuktikan ikatan kedua-dua pihak.

Jelas, campur tangan Iran ke atas Houthi dengan membekalkan senjata kepada kumpulan itu memburukkan lagi situasi kemanusiaan di Yemen selain percubaan Teheran untuk menggugat kestabilan negara-negara di rantau Teluk.

Tidak setakat itu, serangan kumpulan Houthi ke atas Arab Saudi di kawasan sempadan negara berkenaan juga tidak akan berlaku sekiranya mereka tidak mendapat dorongan dan keyakinan oleh Iran.

Seperti yang didakwa, Iran sebenarnya ‘menggunakan’ Houthi bagi mencapai matlamatnya ‘mengenakan’ Arab Saudi secara tidak langsung selepas Teheran tidak berpuas hati dengan layanan Riyadh khususnya selepas Arab Saudi memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran.

Oleh yang demikian, kegagalan antarabangsa untuk menghentikan perang di Yemen dan memainkan peranan mereka bakal mengheret konflik itu kepada krisis yang lebih teruk.

No comments:

Post a Comment