“Ia merupakan misi yang khusus, dan mendapat kebenaran tetapi ia sudah berakhir sekarang. Mereka (Rusia) melancarkan serangan (dari pangkalan Iran) dan mereka kini sudah beredar,” kata jurucakap Kementerian Luar Iran, Bahram Ghasemi kepada pemberita di Teheran.
Beliau menyerahkan tentang kemungkinan Rusia menggunakan semula pangkalan tentera Iran untuk melancarkan serangan ke atas militan Daesh pada masa depan bergantung kepada “situasi di rantau ini, dan kepada kebenaran daripada kami (Iran)”.
Duta Rusia ke Teheran, Levan Dzhagaryan hari ini berkata, semua pesawat Rusia telah meninggalkan pangkalan tentera udara Ira di Hamedan tetapi tidak ada sebarang halangan untuk mereka menggunakan semula pangkalan itu pada masa depan.
“Tiada apa-apa hendak dibimbangkan. Jika pemimpin kedua-dua negara menganggapnya perlu dan mencapai perjanjian, tiada apa-apa yang harus dibimbangkan.
“Buat masa ini, tidak ada pesawat perang (Rusia) berada di pangkalan udara Hamedan,” katanya kepada agensi berita Rusia, Interfax.
Kenyataan Ghasemi itu dibuat beberapa jam selepas Menteri Pertahanan Iran, Hossein Dehghan mengecam tindakan Rusia kerana mendedahkan bahawa pesawat-pesawat perangnya menggunakan pangkalan udara Hamedan untuk melancarkan serangan ke atas penentang di Syria.
“Adalah sesuatu yang biasa, apabila Rusia mahu menunjuk-nunjuk bahawa mereka adalah kuasa besar dan negara berpengaruh, dan mereka aktif dalam isu keselamatan di rantau ini dan di dunia,” kata Dehghan kepada stesen televisyen Iran, Channel 2.
“Pendedahan (Rusia) itu seolah-olah mahu menunjuk-nunjuk dan mempunyai sikap yang tidak mempedulikan,” katanya.
Iran sangat sensitif dengan pandangan bahawa negara ini membenarkan tentera asing berpangkalan di wilayahnya, yang merupakan sesuatu yang melanggar perlembagaan negara ini, sebaliknya menegaskan bahawa pesawat-pesawat perang Rusia itu hanya mengisi minyak di Iran.
“Pesawat perang (Rusia) perlu mengisi minyak di kawasan yang berdekatan dengan operasi mereka. Oleh kerana itu kami membenarkan mereka menggunakan pangkalan udara Nojeh (di Hamedan), dan kami bukan membenarkan mereka berpangkalan di situ,” kata Dehghan. - AFP