Selepas mengadakan rundingan selama beberapa bulan dengan Washington, atas permintaan Iran, Seoul akan ‘dengan kelulusan AS ... menukarkan mata wang won Korea Selatan kepada euro tanpa menggunakan mata wang dolar AS”, kata Timbalan Menteri Luar Iran, Hamid Baedinejad dalam Instagramnya.
Sekiranya negara-negara lain dengan ‘mata wang tempatan dan terhad’ turut berdagang dalam mata wang euro, ia ‘akan memudahkan urusniaga antara pedagang-pedagang Iran dengan peniaga-peniaga dan negara-negara lain”, tambahnya.
Teheran menandatangani perjanjian dengan kuasa-kuasa besar pada Julai tahun lalu dan berkuatkuasa Januari lalu, dan menyaksikan banyak sekatan antarabangsa ke atas Iran telah ditarik balik sebagai pertukaran Teheran menghentikan program nuklearnya.
Tetapi sekatan bukan nuklear masih berkuatkuasa, menghalang bank-bank Iran dan peniaga-peniaga menjalankan urusniaga kewangan global dalam mata wang dolar AS.
Perdagangan antara Iran dan Korea Selatan dalam euro akan bermula pada 29 Ogos ini, kata Baedinejad memetik Menteri Kewangan Korea Selatan, Yoo Il-Ho sebagai berkata.
KEB Hana Bank, Shinhan Bank dan Woori Bank, pada Mei lalu menjadi kumpulan pertama bank Korea Selatan membuka pejabat di Iran, dan akan memberi sokongan kepada urusniaga tersebut, tambahnya.
Teheran dan Seoul, yang membeli minyak Iran, pada Mei lalu bersetuju meningkat perdagangan sebanyak tiga kali ganda setahun kepada AS$18 bilion (RM72 bilion) ketika Presiden Korea Selatan, Park Geun-Hye melawat Iran. - AFP