Monday 28 December 2015

Tentera Iraq tawan semula Ramadi

Ramadi (Iraq): Tentera Iraq semalam memeriksa jalan raya Ramadi untuk memastikan tiada bom selepas menawan semula bandar itu yang jatuh ke tangan Negara Islam (IS), Mei lalu.
Kumpulan kecil anggota IS mungkin masih berada di beberapa bahagian bandar itu, namun tentera berkata tiada pertempuran selepas pejuang kumpulan itu meninggalkan kompleks kerajaan di situ, kelmarin.
Penduduk Iraq meraikan kejayaan itu di beberapa bandar lain, manakala kerajaan mengucapkan tahniah kepada tentera atas kemenangan dianggap terbesar sejak IS menawan sebahagian besar negara itu, tahun lalu.
Pegawai keselamatan di wilayah Anbar, Ibrahim al-Fahdawi berkata: “Pasukan tentera kini mengawal semua jalan. Tiada tentangan daripada Daesh (IS).”
Bekas ibu pejabat kerajaan di Ramadi menjadi pusat pertempuran, namun tentera Iraq tidak terus menyerbu sebaik IS mengundur dari situ kerana keseluruhan kawasan berkenaan diletakkan letupan.
Sehubungan itu, pasukan pemusnah bom dan letupan ditugaskan membersihkan bandar itu daripada ribuan bom ditinggalkan IS.
Brigadier Jeneral Majid al-Fatlawi dari divisyen kelapan tentera berkata: “Daesh meninggalkan lebih 300 bahan letupan di jalan dan bangunan kompleks kerajaan.
“Mereka menggunakan pelbagai barangan termasuk botol oksigen, tong plastik mengandungi letupan C-4 dan klorin.”
Beberapa pegawai tempatan berkata, IS menggunakan orang awam sebagai perisai untuk berlindung ketika lari daripada pertempuran sebaik menyedari bakal dikalahkan di Ramadi.
Kira-kira 400 anggota IS berada di Ramadi seminggu lalu. Namun kini tidak jelas berapa ramai terbunuh atau berjaya melarikan diri ke kawasan di luar bandar itu.
Pihak berkuasa Iraq tidak mengumumkan jumlah kematian dan kecederaan tentera, tetapi anggota kesihatan memberitahu AFP hampir 100 askar kerajaan yang cedera dibawa ke hospital-hospital di Baghdad pada Ahad saja.
“Jumlah kematian sukar dihitung kerana mayat dibawa terus ke hospital tentera utama berhampiran lapangan terbang,” kata sumber hospital. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2015 @ 6:05 AM


TENTERA Iraq bersorak selepas menawan semula Ramadi.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/103133#sthash.bdqhqRBQ.dpuf

No comments:

Post a Comment