Tuesday 29 December 2015

Iran serah 8.5 tan uranium tahap rendah kepada Rusia


30 Disember 2015 1:00 AM




WASHINGTON 29 Dis. – Iran dilapor menyerahkan kira-kira 8.5 tan bahan pengayaan uranium tahap rendah kepada Rusia semalam, sebagai langkah menghormati perjanjian nuklear yang ditandatangani dengan kuasa besar beberapa bulan lepas.
Amerika Syarikat (AS) mengalu-alukan penghantaran tersebut dengan Setiausaha Negara, John Kerry menyifatkannya sebagai proses signifikan dalam komitmen Teheran mengehadkan aktiviti nuklearnya.
Kementerian Luar Rusia mengesahkan penyerahan bahan berkenaan selepas Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Ali Akbar Salehi memberitahu agensi berita ISNA tentang perkara tersebut.
Menurut laporan ISNA, sebagai balasan kepada penyerahan itu, Iran menerima uranium semulajadi sebanyak 140 tan daripada Rusia.
Iran mencapai perjanjian berkenaan bersama AS, Britain, Perancis, China, Rusia, dan Jerman di Vienna pada 14 Julai lalu, pertama kali semua kuasa besar dunia dapat bekerjasama dalam satu perjanjian yang menentang pertambahan senjata nuklear.
Kuasa besar menyifatkan perjanjian itu membolehkan masyarakat antarabangsa sedar bahawa syarat baharu yang lebih ketat akan menghalang Iran menghasilkan senjata nuklear.
Rundingan itu termasuk memerlukan Teheran mengurangkan stok simpanan uranium peringkat rendah kepada kurang 300 kilogram.
Jika diproses lebih lanjut, uranium peringkat rendah itu boleh menghasilkan bahan membuat senjata nuklear. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/iran-serah-8-5-tan-uranium-tahap-rendah-kepada-rusia-1.174319#sthash.IcojaotB.dpuf

No comments:

Post a Comment