Tuesday 15 December 2015

Iran pantau WhatsApp, Telegram


TEHERAN – Perkongsian gambar dan klip video menerusi aplikasi telefon pintar seperti Telegram dan WhatsApp boleh menyebabkan orang ramai dihukum penjara di Iran.
Sejak enam bulan lalu, seramai 609 lelaki dan 114 wanita ditangkap kerana melakukan jenayah siber dengan melanggar batas moral dan budaya masyarakat, menurut perangkaan rasmi Iran.
Kes terbaharu melibatkan seorang pemuda Iran yang hanya dikenali sebagai Vahid. Pemuda itu ditangkap selepas berkongsi klip video yang memaparkan dia dikelilingi beberapa wanita berpakaian seksi menerusi aplikasi mesej Telegram.
Iran menguatkuasakan kod berpakaian menutup aurat untuk kaum wanitanya. Vahid dipenjara selepas rakaman itu dikesan oleh pihak berkuasa yang memantau internet di Iran.
“Berkongsi klip video itu merupakan kesilapan terbesar dalam hidup saya,” Vahid dipetik sebagai berkata oleh media tempatan selepas dia ditangkap Polis Siber Iran yang diberi kuasa memantau kandungan internet.
Telegram merupakan aplikasi mesej paling popular di Iran dan digunakan meluas oleh belia negara itu.
Namun, pihak berkuasa ber­depan masalah penyebaran kan­dungan yang dianggap menyalahi undang-undang dalam kalangan penggunanya.
“Jika Telegram tidak segera mengambil langkah untuk mematuhi undang-undang, badan ini akan bertindak menapisnya,” kata Setiausaha Jawatan Kuasa Jenayah Siber Iran, Abdul Samad Khorram Abadi.
Dua laman sosial popular, Facebook dan Twitter masih disekat di Iran tetapi bolah diakses oleh berjuta-juta rakyat negara itu menggunakan beberapa aplikasi semasa. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1215&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3uQkqNutu 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment