Sunday 13 December 2015

16 maut letupan bom di Pakistan


ORANG awam berkumpul berhampiran mayat mangsa-mangsa letupan bom di sebuah pasar di Parachinar, Pakistan semalam. - AFP


PESHAWAR – Sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh dan 50 lagi cedera apabila sebutir bom meletup di sebuah bazar yang penuh sesak semalam di kawasan penduduk Syiah di barat daya Pakistan, kata beberapa pegawai dengan angka korban dijangka terus meningkat.
Letupan kuat itu berlaku di Pasar Eidgah, bandar Parachinar dalam daerah Kurram.
“Sekurang-kurangnya 10 orang mati dan lebih 30 mangsa cedera. Skuad pemusnah bom berada di lokasi kejadian dan mereka sedang menyiasat letupan itu,” kata seorang pegawai kanan polis.
Serangan tersebut disahkan oleh pentabdir daerah Kurram, Amjad Ali Khan.
Seorang doktor di hospital daerah berkenaan berkata, angka kematian akibat serangan itu dijangka terus meningkat kerana ramai mangsa yang cedera kini berada dalam keadaan kritikal.
Setakat semalam, belum ada pihak mengaku bertanggungjawab melakukan pengeboman itu tetapi rantau berkenaan kerap menyaksikan pertempuran mazhab antara penduduk Sunnah dan pengikut Syiah.
Sebanyak 20 peratus daripada 200 juta penduduk di Pakistan mengikuti ajaran Syiah. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1214&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3uGuRw2rL 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment