Friday 9 September 2016

Jahil agama punca terpengaruh ajaran Syiah


OLEH MOHD. SHAH CHE AHMAD  |  09 September 2016 6:00 PM

SEMAKIN lama berkenalan, Rizal semakin tertanya-tanya dengan amalan dilakukan rakan sebilik yang baru dikenali di pusat pengajian tinggi.

Hanya menunaikan tiga waktu sehari semalam dan sering dilihat menggunakan objek sebagai alas ketika sujud selain tidak pergi solat Jumaat membuatkan Rizal lebih curiga. Hendak dikatakan tidak mementingkan agama, perwatakan rakannya itu kelihatan seperti seorang yang warak dan alim dalam agama.

Niat Rizal yang pada mulanya ingin mendapat penjelasan daripada rakannya itu, bertukar menjadi sesi perdebatan kecil sambil secara perlahan-lahan rakannya itu mempersoalkan akidah diamalkan kepada Rizal yang tidak berpengetahuan luas mengenai agama Islam.


Tidak putus-putus mengagungkan nama Khalifah Islam keempat iaitu Sayidina Ali k.w. di samping pelbagai janji manis dan ganjaran di akhirat dipertaruhkan membuatkan Rizal semakin lama semakin terpengaruh dengan kata-kata rakannya itu.

Menganggap terdapat laluan mudah pengampunan dosa dan mengecapi syurga, Rizal yang sedar pelbagai dosa dan maksiat dilakukan sebelum ini tanpa berfikir panjang akhirnya mengaku beriman dengan akidah dibawakan rakannya itu.

Menunjukkan contoh mudah dalam agama dan dengan mudah mempertaruhkan syurga sebagai ganjaran, begitulah antara contoh kes penyebaran fahaman Syiah yang berlaku di negara ini termasuk pelajar pusat pengajian tinggi.

Yang Dipertua Persatuan Ulama Kedah, Abdullah Din berkata, selain daripada pelbagai taktik licik digunakan golongan Syiah, kurang ilmu mengenai ajaran akidah Ahli Sunnah wal Jamaah (Sunni) merupakan punca terjebak fahaman yang difatwakan sesat itu.

“Mengapa ajaran sesat terutamanya Syiah boleh berkembang di negara ini? Ini kerana hakikatnya ramai dalam kalangan umat Islam yang tidak memahami ajaran Sunni sendiri.

“Dibawa dengan hujah yang boleh diterima di samping alasan bernas, siapa yang tidak terpedaya dengan janji manis Syiah ini,” katanya ketika membentangkan kertas kerja Pengalaman Menghadapi Syiah di Kedah dalam Seminar Gerakan Syiah dan Kesannya Terhadap Dunia Islam, di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor, baru-baru ini.

DAKYAH DI SEKOLAH

Lebih membimbangkan tambah Abdullah yang juga Ahli Jawatankuasa Menangani Syiah di Kedah berkata, dengan menggunakan kaedah halus, gerakan Syiah sudah memasuki pusat pendidikan dan sekolah-sekolah termasuk membuka pusat pendidikan prasekolah mereka sendiri yang agak terkemuka di negara kita.

“Apa yang kita khuatir adalah cuba bayangkan bagaimana jika anak kita belajar Islam daripada guru yang beraliran seperti ini.

“Oleh itu, pihak berkuasa disaran perlu mengambil tindakan terhadap pusat pendidikan yang dikenal pasti terbabit dalam usaha mengembangkan ajaran Syiah bagi mengelakkan daripada terus menular dalam kalangan masyarakat,” jelasnya.

Bukan sahaja golongan tertentu, Abdullah mendakwa, pelbagai pihak termasuk golongan profesional, pakar akademik, pegawai kerajaan dan berstatus ustaz serta ustazah turut dikesan terpengaruh dengan ajaran tersebut.

Perkara itu ujarnya, sebagaimana kejadian kes yang dikesan ketika beliau menemuramah seorang guru Pendidikan Islam berkelulusan Kuliah Syariah, Universiti al-Azhar yang turut berfahaman dengan ajaran Syiah.

“Dia mula terpengaruh dengan Syiah daripada suaminya yang merupakan pengarah di sebuah jabatan kerajaan. Dia mula dikesan apabila mendapat laporan didakwa mengajar cara mengambil wuduk kepada muridnya mengikut ajaran Syiah.

“Apabila kita temuramah, dia mengakui mengamalkan ajaran Syiah walaupun dikatakan belum sepenuhnya, namun dia turut mempertikaikan pelantikan Sayidina Abu Bakar r.a dan Sayidina Uthman r.a sebagai khalifah selepas Rasulullah SAW yang sepatutnya diberikan kepada Sayidina Ali,” katanya ketika berucap membentangkan kertas kerjanya.

Fatwa nikah pasangan Syiah

Dalam pada itu, Abdullah turut menyarankan kerajaan menerusi Majlis Fatwa Kebangsaan untuk menetapkan fatwa status perkahwinan bagi pasangan yang berfahaman Sunni dengan aliran Syiah di negara ini.

“Setakat ini masih belum ada negeri menetapkan fatwa perkahwinan dengan pasangan beraliran Syiah kecuali Perlis yang mewartakan sebagai Makruh. Penularan ajaran Syiah bukan perkara remeh, kerana ia membabitkan akidah.

“Justeru, kerajaan perlu menetapkan fatwa perkahwinan antara pasangan Sunni dengan Syiah adalah haram kerana ia merupakan antara punca penyebaran ajaran yang telah pun difatwakan sesat ini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya telah merekodkan beberapa kes perkahwinan berlainan aliran di Kedah mendapati terdapat pasangan yang terpengaruh dengan Syiah.

“Perkara ini jika tidak dipantau akan melahirkan lebih ramai pengikut Syiah di Malaysia menerusi hasil zuriat perkahwinan pasangan itu tadi.

“Dalam kes yang kita hadapi, seorang lelaki terpaksa menceraikan isterinya setelah mendapat tahu beraliran Syiah, namun malangnya tiga daripada anak mereka mendapat hak penjagaan kepada ibu,” katanya.

No comments:

Post a Comment