Barisan panel pakar PBB dalam laporan mereka merumuskan bahawa Iran melanggar Resolusi 1929 Majlis Keselamatan dengan melancarkan peluru berpandu Emad pada 10 Oktober lalu, tiga bulan selepas perjanjian nuklear bersejarah antara Teheran dan negara kuasa besar dunia.
“Berdasarkan analisis dan pe­nemuan kami, panel ini merumuskan pelancaran Emad merupakan satu pelanggaran oleh Iran ke atas perenggan 9 Resolusi 1929 Majlis Keselamatan,’’ menurut laporan yang dibentangkan oleh panel itu minggu lalu yang diperolehi, semalam.
Diterima pakai pada 2010, Resolusi 1929 melarang Teheran daripada menjalankan sebarang pelancaran peluru berpandu balistik yang mampu membawa senjata nuklear.
Berikutan pelancaran itu, Britain, Perancis, Jerman dan Amerika Syarikat (AS) meminta satu jawatankuasa sekatan Majlis Keselamatan PBB supaya menyiasat pelancaran peluru berpandu Emad itu pada 10 Oktober lalu.
“Penilaian panel mendapati pelancaran Emad berkeupayaan mencapai jarak kurang daripada 1,000 kilometer dengan muatan sekurang-kurangnya 1,000 kilogram dan Emad dilancarkan menggunakan teknologi peluru berpandu balistik,’’ kata laporan itu.
Pakar PBB mendakwa sebuah roket berkemampuan membawa muatan sebanyak 500 kilogram pada jarak sehingga 300 kilometer dan dianggap berkeupayaan membawa peledak nuklear.
Bagaimanapun, Iran menafikan pelancaran peluru berpandu itu bertentangan dengan resolusi PBB dengan Menteri Luarnya, Javad Zarif menyifatkan Emad tidak direkabentuk untuk membawa peledak nuklear.
Malah Teheran menegaskan bahawa mereka tidak mempunyai rancangan untuk membangunkan senjata atom.
Hasil penemuan panel PBB itu boleh menjurus kepada sekatan dikenakan ke atas Iran, walaupun keputusan tersebut masih memerlukan persetujuan dari Rusia dan China. – AFP