Saturday 24 October 2015

Seorang maut, 80 cedera serangan di makam Syiah Bangladesh

ANGGOTA polis mengumpul bahan bukti serangan bom di sebuah makam utama Syiah di Dhaka. - Foto AFP
SABTU, 24 OKTOBER 2015 @ 2:29 PM
DHAKA: Sekurang-kurangnya seorang terbunuh manakala hampir 80 cedera dalam serangan bom di sebuah makam utama Syiah di sini, ketika ribuan berkumpul bagi menghadiri perarakan tahunan Ashura, kata polis.
Polis berkata, ini kejadian pertama disasarkan kepada masyarakat Islam Syiah Bangladesh dan ia terjadi hanya beberapa minggu selepas pekerja bantuan Itali dan seorang petani Jepun ditembak mati dalam serangan yang didakwa dilakukan kumpulan militan Negara Islam (IS).
Pegawai berkata, seorang budak lelaki berusia 14 tahun meninggal dunia di tempat kejadian selepas tiga bom kecil telah dilontarkan ke kompleks Hossaini Dalan pada kira-kira jam 2 pagi hari ini.
"Terdapat kira-kira 20,000 orang perkarangan makam ketika kejadian letupan itu.
"Mereka bersedia untuk membuat perarakan tahunan bagi menyambut Ashura apabila tiba-tiba tiga (bom) meletup," kata Timbalan Pesuruhjaya Polis Dhaka, Mofiz Uddin Ahmed.
Televisyen Bangladesh turut menunjukkan rakaman situasi huru-hara selepas kejadian letupan terbabit dengan orang ramai bertempiaran melarikan diri dan ambulans merawat mangsa yang cedera untuk dibawa ke hospital.
Ketua polis daerah, Azizul Haq, berkata polis turut menemui dan mengeluarkan dua bom yang tidak meletup.
"Ia kelihatan seperti bahan letupan dan hampir seperti bom tangan yang dilengkapi dengan bateri," kata Haq.
Sementara itu, seorang pegawai polis berpangkat inspektor, Mozammel Hoque, berkata kebanyakan yang cedera terkena serpihan bom namun tidak ada mangsa yang kritikal.
"Ada 50 orang mangsa sudah dibawa ke Hospital Kolej Perubatan Dhaka. Seorang budak lelaki berusia 14 tahun maut. Dia meninggal dunia akibat terkena letupan itu," katanya.
Hingga kini, tiada pihak yang mendakwa bertanggungjawab terhadap serangan itu, kata polis. -AFP.

No comments:

Post a Comment