Sunday 25 October 2015

Blair akhirnya minta maaf

 Agensi
London: Bekas Perdana Menteri Britain Tony Blair akhirnya memohon maaf kerana menyebabkan Perang Iraq dan mengaku dia mungkin boleh dipersalahkan terhadap kebangkitan Negara Islam (IS).

Pengakuan luar biasa oleh Blair dibuat selepas 12 tahun dia enggan berbuat demikian.


Blair membuat pengakuan berkenaan ketika diwawancara pengulas politik terkenal Fareed Zakaria menerusi CNN mengenai kemusnahan yang berpunca daripada keputusan dia dan bekas Presiden Amerika Syarikat George Bush untuk menggulingkan Saddam Hussein.

Dalam wawancara berkenaan, Blair berulang kali memohon maaf kerana tindakannya, malah turut merujuk kepada pencerobohan ke atas Iraq itu sebagai jenayah perang, walaupun menafikan dia melakukan jenayah itu.

Blair ditanya secara spontan dalam wawancara yang dirakam kelmarin dan disiarkan semalam: “Adakah Perang Iraq satu kesilapan.”

Dia menjawab: “Saya memohon maaf kerana fakta perisikan yang kami terima ketika itu silap. Saya memohon maaf kerana kesilapan dalam membuat perancangan dan sudah tentunya, kesilapan kami untuk memahami apa yang akan berlaku sebaik kita menggulingkan Saddam.”

Ketika ditanya pendapatnya sama ada Perang Iraq itu menjadi punca utama kebangkitan IS, dia berkata: “Saya berpendapat sebahagian elemen itu benar.

“Sudah tentu anda tidak boleh berkata sebahagian daripada kami yang menggulingkan Saddam pada 2003 tidak bertanggung jawab terhadap apa yang berlaku pada 2015.”

Dalam wawancara berkenaan, Fareed menggelar Blair sebagai ‘anjing Bush dalam Perang Iraq.’

Pengakuan Blair itu dibuat selepas akhbar The Mail menyiarkan memo Rumah Putih yang mendedahkan buat pertama kali bagaimana Blair dan Bush mencapai kata sepakat untuk melancarkan perang di Iraq, setahun sebelum mereka menceroboh negara itu.

Nota daripada Setiausaha Negara Amerika Syarikat ketika itu Colin Powell kepada Bush menunjukkan Blair secara rahsia berikrar menyokong konflik berkenaan selepas memberitahu anggota Parlimen dan Britain kononnya dia berusaha untuk menyelesaikan isu Iraq itu menerusi saluran diplomatik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2015 @ 5:10 AM

BLAIR ketika melawat tentera Britain di Iraq pada 2004.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/88162#sthash.czbDBx2x.dpuf

No comments:

Post a Comment