Saturday 23 April 2016

Tentera Nigeria didakwa bunuh 350 golongan Syiah


LAGOS – Amnesty International (AI) semalam mendakwa tentera Nigeria menembak lebih daripada 350 orang Syiah dan menanam mayat mereka di dalam satu kubur besar di samping memusnahkan bukti-bukti jenayah tersebut.
Kumpulan hak asasi itu turut me­nyangkal dakwaan tentera terbabit bahawa penunjuk perasaan daripada kumpulan Gerakan Islam Nigeria (IMN) mahu membunuh ketua tentera sebelum pertempuran tersebut bermula pada Disember lalu.
Tentera Nigeria yang berulang kali dituduh menganiayai orang awam dalam peperangan menentang kumpulan Boko Haram tetap mempertahankan tindakan anggota tenteranya.
Terdapat kebimbangan tindakan tentera terhadap golongan Syiah di bandar Zaria itu mungkin membawa kepada kebangkitan seperti dilakukan Boko Haram yang memberontak sehingga menyebabkan sekitar 20,000 orang terbunuh sejak 2009.
Laporan pertubuhan berkenaan didedahkan susulan beberapa dakwaan bercanggah mengenai kekejaman di bandar di utara Nigeria tersebut.
Keganasan selama dua hari bermula pada 12 Disember tahun lalu berlaku selepas sekumpulan penyokong ulama pro-Iran, Ibrahim Zakzaky daripada IMN yang menghadiri satu majlis keagamaan bertindak menghalang konvoi Ketua Turus Tentera Nigeria melalui kawasan tersebut.
AI mendakwa siasatannya mensabitkan tentera bertindak ‘secara tidak sah’ dengan menembak secara rambang ke arah penunjuk perasaan.
“Kami tidak pasti kenapa tentera melancarkan ‘operasi tentera’ sedemikian sebagai tindak balas terhadap situasi yang aman dan mengikut undang-undang. Tentera Nigeria tidak memberikan sebarang bukti untuk menyokong dakwaan mereka kononnya penunjuk perasaan IMN cuba membunuh Ketua Turus Tentera,” jelas laporan itu. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0423&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz46emUha4l 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment