Pejabat akhbar Ashraq al-Awsat milik Arab Saudi di Beirut turut diserang kumpulan penunjuk perasaan sebagai tindak balas terhadap penerbitan karikatur oleh akhbar berkenaan yang mengkritik Lebanon.
Arab Saudi telahpun memotong bantuan ketenteraan berjumlah AS$3 bilion (RM11.6 bilion) kepada Lebanon, selepas Beirut gagal mengecam serangan ke atas Kedutaan Arab Saudi di Teheran pada Januari lalu.
Riyadh menganggap kurangnya solidariti Lebanon secara umum, merupakan isyarat Beirut mula terhutang budi kepada pergerakan Hezbollah yang mendapat sokongan musuh utama Arab Saudi, Iran.
“Kami dimaklumkan bahawa pejabat (Al-Arabiya) ini ditutup dan 27 kakitangannya dipecat,” kata seorang wartawan Al-Arabiya.
Satu kenyataan daripada stesen berita itu mengesahkan bahawa pejabat mereka di Beirut ditutup dengan menyifatkannya sebagai langkah penyusunan semula berikutan cabaran di peringkat bawah dan memetik kebimbangan akan keselamatan pekerja mereka.
Menteri Penerangan Lebanon, Ramzi Greige dalam pada itu menolak alasan penutupan itu adalah disebabkan faktor keselamatan.
“Sudah tentu tidak ada sebab untuk menutup pejabat Al-Arabiya di Beirut. Mungkin terdapat sebab politik langkah ini diambil, namun saya tidak tahu sehinggalah saya mendapat penjelasan daripada mereka,” katanya.
Sementara itu, kumpulan penunjuk perasaan menyerbu masuk pejabat akhbar Ashraq al-Awsar dengan mencampakkan akhbar dan menterbalikkan kerusi meja selepas akhbar itu menerbitkan karikatur yang menunjukkan bendera Lebanon tertulis dengan perkataan, 'an April fool’ di atasnya.  REUTERS