TEHERAN - IRAN . Pemimpin Iran, Ayatollah Ali Khamenei semalam berkata, Teheran tidak berniat untuk bekerjasama dalam isu serantau dengan musuh utama Amerika Syarikat (AS) dan Britain.
Menurutnya, AS dan Britain terus bermusuh dengan Iran sejak Revolusi Islam pada tahun 1979 dan negaranya melakukan kesilapan besar jika mempercayai mereka.
"Kami tidak akan bekerjasama dengan AS terhadap krisis serantau. Matlamat mereka adalah 180 darjah bertentangan dengan Iran," katanya.
Beliau berkata, musuh turut memberi tekanan tinggi ke atas Iran kerana takut dengan semangat revolusi rakyat Teheran yang merupakan warisan Imam Khomeini.
"Kuasa materialistik takut dengan pendekatan revolusi Khomeini dan mereka terus beri tekanan kepada kami. Rakyat Iran mesti mengekalkan revolusi kerana ia milik seluruh negara," katanya. - Agensi