Saturday 21 January 2017

Lebih 20 mati tertimbus di Iran


Bangunan beli-belah tertua di Teheran runtuh

21 Januari 2017 12:11 AM



TEHERAN 20 Jan. - Sekurang-kurangnya 20 anggota bomba dipercayai mati tertimbus selepas sebuah bangunan setinggi 17 mengandungi pusat beli-belah dan gudang pakaian runtuh di Iran, semalam.

Datuk Bandar Teheran, Mohammad Bagher Ghalibaf berkata, mereka yang terpe­rangkap itu merupakan sebahagian daripada 200 anggota bomba yang ditugaskan untuk memadam kebakaran di bangun­an tersebut.

Difahamkan, setakat ini seramai 88 ce­dera termasuk anggota bomba dalam kejadian itu.


Seorang jurucakap bomba pula memberitahu, tiada mayat yang dikeluarkan daripada runtuhan tersebut dan pasukan penyelamat kini mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan berlakunya runtuhan susulan yang mungkin memburukkan lagi keadaan.

Bangunan yang dikenali sebagai Plasco dibina sejak 54 tahun lalu dan dianggap tempat beli-belah tertua di Teheran, menjadikannya ba­ngunan yang berisiko tinggi.

Kebakaran yang disusuli letupan dilaporkan bermula di tingkat 10 bangunan tersebut sekali gus melemahkan struktur bangunan berkenaan sehingga menyebabkannya runtuhan berlaku.

Berikutan insiden kebakaran dan runtuhan itu juga, kedutaan Jerman dan Turki yang terletak bersebelahan bangunan tersebut terpaksa ditutup sebagai langkah keselamatan.

Difahamkan, kerja-kerja mencari dan menyelamat masih diteruskan ketika ini dengan bantuan tentera serta unit anjing pengesan.

Sebuah terowong juga terpaksa digali di kawasan letak kereta bagi membolehkan pasukan penyelamat sampai ke tingkat bawah tanah untuk menyelamatkan mangsa yang terperangkap di situ.

Dalam pada itu, Presiden Iran, Hassan Rouhani berkata, rakyat Iran bersedih dengan tragedi itu dan berterima kasih terhadap pengorbanan anggota bomba selama ini.

Pada masa yang sama, beliau mengarahkan satu siasatan terperinci dijalankan bertujuan mengenal pasti punca sebenar insiden berkenaan. – DPA/AFP

No comments:

Post a Comment