Pejabat PBB untuk Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan di Iraq dalam kenyataannya berkata, kebanyakan penduduk melarikan diri ke arah Baghdad untuk mencari perlindungan daripada ancaman kumpulan militan itu.
PBB melaporkan bantuan kemanusiaan yang dihulurkan di bawah Program Makanan Sedunia (WFP) kepada pelarian dari Ramadi hanya mampu bertahan selama tiga hari sahaja.
“Sejak sebulan lalu, agensi PBB dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan telah menyediakan bantuan kepada lebih 130,000 penduduk yang melarikan diri dari kawasan konflik di Iraq ekoran serangan militan IS,” tambah kenyataan itu.
Dalam pada masa yang sama, sekurang-kurangnya 3,000 militia Syiah dikerah ke Ramadi untuk menawan semula ibu negeri wilayah Anbar tersebut daripada cengkaman militan IS.
Wartawan portal berita Al-Jazeera yang melaporkan dari Baghdad, Zeina Khodr berkata, militan IS dilihat bersedia untuk bertempur dengan militia Syiah yang menyokong tentera Iraq.
Tambah Zeina, kumpulan militan itu cuba mara menuju ke arah timur pangkalan tentera Habbaniya yang merupakan kedudukan beribu-ribu militia Syiah berkumpul untuk melancarkan serangan balas.
“Kami difahamkan militan IS gagal sampai di pangkalan itu setelah menerima tentangan hebat daripada militia Syiah, sekali gus bakal menyaksikan berlaku pertempuran besar.
“Pengaruh kumpulan sayap militan IS, Negara Islam Iraq dan Jajahannya (ISIL) sangat kuat, bukan setakat di Ramadi tetapi di seluruh wilayah Anbar,” jelasnya.