Monday 22 June 2015

ISIL mengaku serang masjid Syiah di Sanaa


Yemenis surround the wreckage of a vehicle outside the Kobbat
SANAA 21 Jun – Kumpulan Militan Negara Islam Iraq dan Jajahannya (ISIL) yang merupakan ranting Kumpulan Militan Negara Islam (IS), mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan di luar sebuah masjid di ibu negara Yemen, semalam ketika tentera bersekutu diketuai Arab Saudi meneruskan kempen memerangi pemberontak Syiah Houthi di Aden, selatan negara ini.
ISIL mengaku meletupkan bom kereta di luar Masjid Kobbat al-Mehdi yang merupakan tempat ibadat pengikut Syiah, menyebabkan dua orang terbunuh dan 16 orang lagi cedera.
Menurut laporan portal Al Jazeera, serangan itu dilancarkan ketika orang ramai berkumpul untuk menunaikan solat Zuhur dan letupan itu menyebabkan pintu masjid rosak teruk selain tingkap rumah di kawasan sekitar pecah.
Serangan terbaharu itu yang dilancarkan ISIL merupakan beberapa siri serangan ISIL yang menjadikan penduduk Syiah di Sanaa sebagai sasaran, kawasan yang dikuasai pemberontak Houthi sejak September lalu selepas menggulingkan Presiden Abdrabbuh Mansour Hadi.
Dalam perkembangan berasingan, tentera bersekutu melancarkan 15 serangan ke atas kedudukan pemberontak Houthi di Aden termasuk di kawasan utara, timur dan barat bandar berkenaan bagi mengasingkan kumpulan pemberontak dengan pejuang yang setia kepada Hadi.
Namun, pemberontak melan­carkan serangan balas dengan membedil beberapa kawasan penempatan menggunakan meriam, mengakibatkan empat orang terbunuh dan berpuluh-puluh orang lagi cedera.
Di wilayah Marib, timur Sanaa, pertempuran yang berlanjutan sejak tiga bulan lalu menyaksikan 15 pemberontak Houthi maut dan empat pejuang yang setia kepada Hadi terbunuh dalam pertempura awal pagi semalam.
Keganasan terbabit berlaku ha­nya sehari selepas wakil khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Yemen, Ismail Ould Cheikh Ahmed mengumumkan bahawa perbincangan antara pihak-pihak yang bertelagah di Geneva berakhir tanpa sebarang perkembangan positif.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/isil-mengaku-serang-masjid-syiah-di-sanaa-1.105645#sthash.BrZOY3J5.dpuf

Thursday 11 June 2015

Keracunan jemaah: Arab Saudi panggil Duta Iran


RIYADH 11 Jun - Arab Saudi telah memanggil Duta Iran bagi mendapatkan penjelasan membabitkan satu kejadian keracunan beramai-ramai di negara itu sehingga mengorbankan empat kanak-kanak dan 28 jemaah Arab Saudi ke negara Syiah itu jatuh sakit, kata media rasmi Iran baru-baru ini.
“Riyadh memanggil wakil kedutaan itu bagi menyuarakan kebimbangannya membabitkan insiden tersebut dan berharap pihak berkuasa Iran dengan segera dapat melakukan prosedur siasatan bagi mendedahkan keadaan sebenar,” kata Ketua Divisyen Informasi Kementerian Luar, Osama Nugali, petik agensi Saudi Press.
Laman web Press TV Iran melaporkan bahawa kejadian keracunan itu berlaku di bandar Mashhad, yang merupakan kota suci negara Syiah berkenaan.
Agensi berita itu memetik Ketua Hospital Iman Reza, Abdollah Bahrani di Mashhad sebagai berkata, seramai 33 orang jemaah Arab Saudi ke Iran dimasukkan ke hospital pada hari Ahad kerana mengalami simptom-simptom keracunan. Seramai empat kanak-kanak maut.
Jemaah itu kini menetap di sebuah hotel di Iran, tambah Press TV.
Peguam pendakwa raya bandar Mashhad, Gholam Ali Sadeqi berkata, satu siasatan telah dijalankan namun tiada bukti awal dari insiden berkenaan ditemui.
Kejadian keracunan itu berlaku dalam keadaan kedua-dua negara sedang tegang membabitkan kumpulan Sunni, Arab Saudi dan saingan serantaunya Iran.
Arab Saudi yang mengetuai tentera pakatan negara Arab sejak lebih dua bulan lalu telah mengebom kumpulan pemberontak Syiah yang disokong Iran di Yemen. - AGENSI
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/keracunan-jemaah-arab-saudi-panggil-duta-iran-1.101587#sthash.dcElMc9t.dpuf