Monday 25 May 2015

Iraq lancar serangan balas ke atas IS di Ramadi


Tentera Iraq melepaskan tembakan meriam ke atas kedudukan kumpulan
Tentera Iraq melepaskan tembakan meriam ke atas kedudukan kumpulan militan IS berhampiran bandar Ramadi, semalam. AGENSI
RAMADI 24 Mei – Tentera Iraq dengan bantuan anggota militia Syiah bertindak melancarkan serangan besar-besar ke atas kedudukan kumpulan militan Negara Islam (IS) berhampiran bandar Ramadi, semalam.
Laman web al-Jazeera melaporkan, tentera Iraq yang turut mendapat sokongan daripada tentera udara Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan tersebut bagi menawan semula bandar itu daripada IS yang berjaya menawan bandar berkenaan pada minggu lalu, kekalahan yang memalukan bagi pihak kerajaan dan sekutunya.
Tentera kerajaan turut dikerah untuk mempertahankan bandar Khalidiya, yang terletak beberapa kilometer dari pangkalan tentera Habbaniyah, lokasi di mana berlakunya pertempuran hebat, semalam.
“Kumpulan militan IS mahu menguasai pangkalan tentera berkenaan yang merupakan lokasi strategik bagi pasukan keselamatan Iraq dan militia Syiah melancarkan serangan balas ke atas mereka,” lapor wartawan al-Jazeera, Zeina Khodr dari Baghdad.
Jurucakap Angkatan Mobilisasi berkata, beribu-ribu anggota tentera terlibat dalam serangan balas yang dijalankan ke atas IS di Ramadi, semalam.
Dalam perkembangan lain, Timbalan Presiden Iraq, Ayad Allawi berkata, pendekatan melancarkan serangan udara ke atas kumpulan militan IS, bukanlah jalan penyelesaian terbaik bagi menghapuskan kumpulan berkenaan.
“Ini bukanlah satu berita baik buat negara-negara pakatan, sebenarnya kita tiada strategi untuk memerangi mereka, jadi saya meminta ketua-ketua kabilah untuk mencari idea untuk menghapuskan IS,” jelas Ayad.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/iraq-lancar-serangan-balas-ke-atas-is-di-ramadi-1.95395#sthash.lj3Ss7tP.dpuf

Wednesday 20 May 2015

25,000 penduduk Ramadi jadi pelarian

KUMPULAN besar penduduk Ramadi, menunggu giliran untuk menyeberangi Jambatan Bzeibez di barat daya Baghdad di wilayah Anbar, Iraq, berikutan penguasaan kumpulan IS di bandar berkenaan, kelmarin. AFP
BAGHDAD 19 Mei - Hampir 25,000 penduduk bandar Ramadi, wilayah Anbar di barat Iraq, melarikan diri sejak kumpulan militan Negara Islam (IS) menawan bandar itu setelah tentera Iraq berundur dari bandar itu beberapa hari lalu, lapor Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pejabat PBB untuk Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan di Iraq dalam kenyataannya berkata, kebanyakan penduduk melarikan diri ke arah Baghdad untuk mencari perlindungan daripada ancaman kumpulan militan itu.
PBB melaporkan bantuan kemanusiaan yang dihulurkan di bawah Program Makanan Sedunia (WFP) kepada pelarian dari Ramadi hanya mampu bertahan selama tiga hari sahaja.
“Sejak sebulan lalu, agensi PBB dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan telah menyediakan bantuan kepada lebih 130,000 penduduk yang melarikan diri dari kawasan konflik di Iraq ekoran serangan militan IS,” tambah kenyataan itu.
Dalam pada masa yang sama, sekurang-kurangnya 3,000 militia Syiah dikerah ke Ramadi untuk menawan semula ibu negeri wilayah Anbar tersebut daripada cengkaman militan IS.
Wartawan portal berita Al-Jazeera yang melaporkan dari Baghdad, Zeina Khodr berkata, militan IS dilihat bersedia untuk bertempur dengan militia Syiah yang menyokong tentera Iraq.
Tambah Zeina, kumpulan militan itu cuba mara menuju ke arah timur pangkalan tentera Habbaniya yang merupakan kedudukan beribu-ribu militia Syiah berkumpul untuk melancarkan serangan balas.
“Kami difahamkan militan IS gagal sampai di pangkalan itu setelah menerima tentangan hebat daripada militia Syiah, sekali gus bakal menyaksikan berlaku pertempuran besar.
“Pengaruh kumpulan sayap militan IS, Negara Islam Iraq dan Jajahannya (ISIL) sangat kuat, bukan setakat di Ramadi tetapi di seluruh wilayah Anbar,” jelasnya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/25-000-penduduk-ramadi-jadi-pelarian-1.93767#sthash.NxD5QW6O.dpuf

Thursday 14 May 2015

Bas diserang, 43 pengikut Syiah terbunuh


Orang ramai berkumpul di luar hospital ketika pasukan perubatan
Orang ramai berkumpul di luar hospital ketika pasukan perubatan bertungkus lumus membantu mangsa serangan sebuah bas di Karachi, semalam. REUTERS
KARACHI 13 Mei – Sekurang-kurangnya 43 pengikut Syiah terbunuh, manakala 13 lagi cedera selepas sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah sebuah bas yang mereka naik, di sini, hari ini.
Ketua Polis Wilayah Sindh, Ghulam Haider Jamali berkata, enam orang lelaki yang menunggang tiga buah motosikal bertindak melepaskan tembakan ke arah bas berkenaan menggunakan pistol.
“Suspek dipercayai menggunakan pistol jenis 9mm.
“Suspek berjaya melarikan diri dan usaha memburu mereka sedang giat dijalankan,” jelas Ghulam.
Stesen televisyen yang membuat liputan berkenaan serangan itu, memaparkan bagaimana sebuah bas berwarna merah jambu musnah terkena tembakan, dengan terdapat kesan darah di beberapa bahagian bas itu.
Rakaman turut memaparkan bagaimana ahli keluarga mangsa tidak dapat menahan kesedihan dan menangis apabila melihat mayat orang tersayang diusung keluar dari bas berkenaan.
Sehingga kini, tiada pihak tampil mengaku bertanggungjawab me­lakukan serangan tersebut, dengan kumpulan pengganas Taliban dijadikan sebagai suspek utama selepas sering melancarkan serangan ganas di negara ini. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/bas-diserang-43-pengikut-syiah-terbunuh-1.91502#sthash.J7fa29xq.dpuf