Akhbar tempatan, Al-Hayat melaporkan sebanyak 10 buah perkampungan terbabit telahpun dimusnahkan sejak Arab Saudi mengetuai kempen serangan udara ke atas pemberontak Syiah Houthi pada 26 Mac lalu.
Memetik ketua pengawal sempadan di kawasan tersebut, Hassan Aqili sebagai berkata, langkah memusnahkan perkampungan-perkampungan tersebut adalah bagi mengelakkan rumah-rumah kosong di kawasan tersebut dijadikan `tempat persembunyian penyeludup dan laluan penyusup’.
Sebanyak 15,000 penduduk ditempatkan di situ semasa krisis 2009-2010 yang menyaksikan pemberontak Houthi menyusup masuk ke Arab Saudi dari kubu mereka di utara Yemen.
Puak Syiah Houthi melancarkan pemberontakan ke atas Presiden Yemen, Abdrabbo Mansour Hadi memaksa Presiden itu melarikan diri ke Arab Saudi pada bulan lalu ketika pemberontak itu mara ke kubunya di Aden selepas menawan ibu negara Yemen, Sanaa.
Tiga pengawal sempadan Arab Saudi telah ditembak mati dari arah Yemen sejak Riyadh melancarkan kempen serangan udara ke atas pemberontak Houthi yang mendapat sokongan Iran. - AGENSI