Sunday 19 April 2015

Yaman bergolak

yemen wars
PENDUDUK Yaman mencari mangsa yang terselamat di bawah runtuhan rumah yang musnah selepas serangan udara oleh Arab Saudi di Sanaa pada 26 Mac lalu. – EPA /YAHYA ARHAB
Yaman menjadi negara terbaharu di Asia Barat selepas Syria dan Iraq terjerumus ke dalam kancah peperangan apabila kumpulan pemberontak Houthi menawan ibu negara itu, Sanaa pada September 2014. Krisis di Yaman ini agak rumit dan melibatkan banyak pihak yang bersengketa termasuk pemberontak Houthi, kerajaan Yaman, al-Qaeda, bekas Presiden Yaman, Ali Abdullah Saleh dan parti al-Islah.

Punca sebenar tercetusnya pergolakan ini masih samar, namun faktor konflik geopolitik antara Arab Saudi dan Iran, persengketaan antara Syiah dan Ahli Sunnah Wal Jamaah serta ketidakpuasan hati dalam soal politik dan ekonomi mungkin menyumbang kepada ketidakstabilan di Yaman.
Fokus Rencam minggu ini melihat kepada krisis di Yaman, sebuah negara yang pernah menjadi antara pusat peradaban tertua di dunia tetapi kini antara negara termiskin dan termundur di dunia.

Memahami konflik Yaman
KRISIS terbaharu yang tercetus di Yaman menambahkan keadaan tidak stabil Asia Barat ketika Iraq dan Syria masih bergolak. Selama ini, AS dan kuasa-kuasa Barat lebih memberikan tumpuan memerangi al-Qaeda di Semenanjung Arab (AQAP) di Yaman berbanding kumpulan Houthi yang mewakili minoriti  Syiah di kawasan Yaman Utara.
Namun, bagi kebanyakan rakyat Yaman, kumpulan Houthi merupakan watak yang lebih penting daripada AQAP kerana mampu mengubah landskap politik di negara tersebut. Asia Barat tidak boleh lari daripada isu pergelutan antara Arab Saudi dan Iran untuk memperluaskan pengaruh geopolitik masing-masing di rantau tersebut. Keadaan sama berlaku di Iraq dan Syria. Arab Saudi dan Iran dikatakan terlibat menghulurkan bantuan kewangan dan senjata kepada pihak yang bersengketa.
Dalam kes di Yaman, Arab Saudi memang jelas menyokong kerajaan Yaman yang sekular dan pro-Amerika Syarikat (AS). Iran pula dmenyalurkan bantuan kewangan dan senjata kepada pemberontak Houthi kerana mempunyai fahaman yang sama iaitu Syiah.
Peningkatan mendadak kekuatan persenjataan kumpulan Houthi sejak Oktober 2013 menguatkan lagi dakwaan ini. Namun, Iran menafikan tuduhan ini dan menyatakan sokongan kepada Presiden Yaman. Begitu juga dengan pemberontak Houthi yang menafikan tuduhan ini dan tidak mahu meminta pertolongan Iran. Sekiranya benar Yaman menjadi medan perang proksi antara dua kuasa besar di rantau itu, maka amat malanglah kerana Yaman yang merupakan negara termiskin di dunia Arab bakal menuju kehancuran.
Walaupun miskin, Yaman sebenarnya amat penting bagi rantau tersebut. Kedudukannya yang  strategik kerana terletak di sebelah selat Bab al-Mandab yang menghubungkan Laut Merah dengan Teluk Aden yang menjadi laluan kapal-kapal tangki minyak. Arab Saudi dan Mesir bimbang keselamatan di laluan itu terancam sekiranya pejuang Houthi menguasai Yaman.
Selain itu, persengketaan antara Syiah dan Ahli Sunnah Wal Jamaah mungkin antara faktor tercetusnya perang di Yaman. Meskipun, Yaman tidak mempunyai sejarah permusuhan antara dua aliran dalam Islam itu, perkembangan semasa di Syria dan Iraq mungkin mempengaruhi hubungan antara Syiah dan Ahli Sunnah Wal Jamaah di negara itu. Kehadiran al-Qaeda yang anti Syiah di Yaman sejak 2009 mungkin telah mencetuskan permusuhan antara sekta.
Ramai pemerhati sebelum ini melihat krisis di Yaman lebih kepada pergelutan politik dalaman dan perseteruan antara kabilah. Ini kerana pejuang Houthi tidak kelihatan mahu merampas kuasa tetapi memberontak bagi mendapatkan lebih hak politik dan ekonomi.
Namun, dengan pejuang Houthi kini menguasai hampir keseluruhan negara tersebut, matlamat perjuangan kumpulan pemberontak itu mungkin bukan sekadar mahu menuntut hak politik dan ekonomi, tetapi mahu menggulingkan kerajaan dan melaksanakan undang-undang Syiah seperti yang didakwa. Apa yang lebih membimbangkan, situasi di negara itu mungkin merebak ke negara-negara Arab lain terutama Arab Saudi yang berjiran dan mempunyai kekeluargaan dengan Yaman.

Siapakah Houthi?
HOUTHI merupakan kumpulan pemberontak yang juga dikenali sebagai Ansarullah yang bermaksud "penolong agama Allah." Anggota kumpulan ini merupakan kabilah di Yaman yang menjadi pengikut Zaidiyah iaitu mazhab dalam Syiah yang paling mirip dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Kumpulan pemberontak ini mendapat namanya daripada Hussein Badreddin Houthi yang mengetuai kebangkitan pertama kumpulan ini pada Jun 2004 dalam usaha untuk memperluaskan kuasa autonomi mereka di wilayah Saada di Yaman Utara.  Wilayah itu diperintah hampir 1,000 tahun oleh kerajaan imamah Syiah Zaidiyah yang mendakwa keturunan Nabi Muhammad SAW. Pemerintahan imamah itu tumbang selepas berlaku revolusi Yaman pada 1962. Sejak itu, wilayah tersebut terpinggir dari segi pembangunan dan ekonomi. Kerajaan Yaman juga mempunyai pengaruh yang kurang di kawasan itu.
Pemberontakan kali pertama kumpulan Houthi pada 2004 tercetus selepas Hussein yang merupakan ketua ulama pembangkang melancarkan perang bagi mempertahankan komuniti Syiah Zaidiyah daripada pencerobohan kerajaan. Dalam konflik itu, kerajaan Arab Saudi membantu Yaman bagi menjamin kestabilan sempadan supaya pemberontakan itu tidak merebak ke wilayahnya. AS yang merupakan sekutu Yaman didakwa turut membantu dengan melancarkan 28 serangan udara ke atas pemberontak.  Pada 2010, pemberontak Houthi dan kerajaan Yaman di bawah bekas Presiden, Ali Abdullah mencapai kata sepakat untuk menamatkan pertempuran melalui gencatan senjata.

Hussein Badreddin Houthi
HUSSEIN dilahirkan di Marran, Saada pada 1956. bapanya, Badreddin al-Tabatabai merupakan seorang ulama Syiah Zaidiyah. Pelopor kumpulan Houthi ini ini bersama keluargnya termasuk bapa dan adiknya, Abdul Malik pernah menetap lama di Qom, Iran. Dia dikatakan mempunyai hubungan baik dengan pemimpin tertinggi Iran, Ali Khamenei dan hubungan mereka dikatakan sama dengan pemimpin Hezbollah, Hassan Nasrallah.
Hussein merupakan pengikut Syiah Zaidiyah Jurudiyah yang mirip dengan Syiah Isna Asriyah atau Syiah 12 yang terdapat di Iran. Sebelum penyatuan Yaman Utara dan Selatan pada 1990, beliau menubuhkan Persatuan Pemuda (Itihad al-Syabab) pada 1986 bagi mendoktrin pemuda memahami Syiah Zaidiyah yang mirip dengan Syiah 12 berbanding mazhab Zaidiyah yang tidak ketara perbezaan dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Selepas penyatuan Yaman Utara dan Yaman Selatan, Persatuan Pemuda berubah menjadi parti politik dengan nama Parti al-Haq yang kemudian berjaya menduduki Parlimen Yaman dari 1993 hingga 1997. Pada masa sama, Hussein menubuhkan gerakan bersenjata yang dikenali sebagai al-Syabab al-Mukminin bagi menentang pencerobohan AS di Iraq dan campur tangan di Yaman.
Hussein mengetuai al-Syabab al-Mukminin melancarkan pemberontakan terhadap kerajaan Yaman pada 2004. Namun, beliau terbunuh bersama 20 pengikutnya dalam serangan tentera Yaman di Marran, Saada pada September 2004.  Selepas kematian Hussein, adik-adiknya; Abdul Malik, Yahia dan Abdul Karim mengetuai kumpulan tersebut yang kemudian dikenali sebagai Houthi.

Pemberontakan Houthi
WALAUPUN militan Houthi mengadakan gencatan senjata dengan kerajaan Yaman pada 2010, pertempuran kecil masih meletus antara kumpulan itu dengan tentera kerajaan dan AQAP yang mempunyai pengaruh kuat di kawasan selatan dan timur negara itu. Kumpulan Houthi mula menawan Sanaa sejak 21 September 2014 kerana menentang pembentukan kerajaan peralihan yang diterajui sebahagian besar oleh pengikut bekas Presiden, Ali Abdullah yang digulingkan oleh rakyat pada 2012. Mereka juga menuntut kerajaan Yaman meminda Perlembagaan yang diluluskan bagi membahagikan negara itu kepada enam wilayah persekutuan.
Konflik tersebut semakin memuncak apabila pemberontak Houthi menyerang Istana Presiden Yaman, Abd. Rabbuh Mansur Hadi di Sanaa pada 20 Januari lalu. Abd. Rabbuh kemudian melarikan diri bersama pengawal keselamatannya selepas dibenarkan keluar dengan selamat dari kediaman itu. Beliau kini berlindung di Arab Saudi.  Walaupun Abd. Rabbuh bersetuju untuk memenuhi tuntutan pemberontak sebagai syarat gencatan senjata, militan Houthi yang disokong oleh bekas Presiden, Ali Abdullah terus mara dan mengepung kediaman Perdana Menteri, Khalid Bahah beberapa jam selepas itu.
Krisis yang semakin meruncing itu menyebabkan Abd. Rabbuh meminta pertolongan daripada Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang pro-AS untuk membantu mempertahankan kerajaannya. Ekoran itu, 10 negara Arab termasuk Arab Saudi, Qatar, Kuwait, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu melancarkan serangan besar-besar di Yaman bagi menghancurkan militan Houthi pada 25 Mac lalu. Antara kawasan yang menjadi sasaran serangan ialah pangkalan tentera udara al-Anad di utara Aden dan Istana Presiden Yaman di Sanaa. Serangan itu membunuh beberapa komander kumpulan militan tersebut termasuk Abdel Khaleq Badereddine al-Houthi, Yousef al-Madani dan Yousef al-Fishi.
Serangan tentera bersekutu yang diketuai Arab Saudi itu telah membunuh sekurang-kurangnya 160 orang manakala lebih 500 orang cedera. Sejak Mac lalu sahaja, hampir 400 orang terbunuh manakala 2,100 cedera dalam konflik tersebut. Pada 14 April lalu, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan resolusi mengenakan sekatan senjata terhadap militan Houthi dan menggesa pemberontak itu berundur dari kawasan yang ditawan.
Sehingga hari ini, pakatan negara Arab terus menggempur pemberontak Houthi yang semakin terdesak dan kini dilaporkan berlindung di kawasan pergunungan. Tentera bersekutu menegaskan serangan itu akan diteruskan sehingga pemberontak menyerah diri kepada kerajaan Yaman.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/yaman-bergolak-1.82531#sthash.13HudQSo.dpuf

Monday 6 April 2015

Arab Saudi rancang musnahkan 96 perkampungan di sempadan


RIYADH 6 April - Arab Saudi merancang memusnahkan 96 buah perkampungan padang pasir di sempadannya dengan Yemen bagi mengelak ia digunakan sebagai laluan oleh penduduk Yemen untuk menyusup masuk ke Arab Saudi.
Akhbar tempatan, Al-Hayat melaporkan sebanyak 10 buah perkampungan terbabit telahpun dimusnahkan sejak Arab Saudi mengetuai kempen serangan udara ke atas pemberontak Syiah Houthi pada 26 Mac lalu.
Memetik ketua pengawal sempadan di kawasan tersebut, Hassan Aqili sebagai berkata, langkah memusnahkan perkampungan-perkampungan tersebut adalah bagi mengelakkan rumah-rumah kosong di kawasan tersebut dijadikan `tempat persembunyian penyeludup dan laluan penyusup’.
Sebanyak 15,000 penduduk ditempatkan di situ semasa krisis 2009-2010 yang menyaksikan pemberontak Houthi menyusup masuk ke Arab Saudi dari kubu mereka di utara Yemen.
Puak Syiah Houthi melancarkan pemberontakan ke atas Presiden Yemen, Abdrabbo Mansour Hadi memaksa Presiden itu melarikan diri ke Arab Saudi pada bulan lalu ketika pemberontak itu mara ke kubunya di Aden selepas menawan ibu negara Yemen, Sanaa.
Tiga pengawal sempadan Arab Saudi telah ditembak mati dari arah Yemen sejak Riyadh melancarkan kempen serangan udara ke atas pemberontak Houthi yang mendapat sokongan Iran. - AGENSI
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/arab-saudi-rancang-musnahkan-96-perkampungan-di-sempadan-1.77693#sthash.rGDKHFMa.dpuf

Sunday 5 April 2015

Pasukan khas Arab saudi terlibat di Yemen


ADEN 5 April - Sebuah pasukan khas Arab Saudi yang disertai angkatan tentera darat dan tentera laut dilaporkan terlibat dalam operasi ketenteraan menyerang pemberontak Syiah Houthi berhampiran Yemen, semalam.
Dalam operasi tersebut, pasukan angkatan tentera darat Arab Saudi telah menyediakan senjata dan peralatan komunikasi kepada tentera Presiden Abdrabbuh Mansour Hadi di bandar Aden, selatan negara ini.
Manakala pasukan tentera laut pula menyediakan “koordinasi dan bimbingan” bagi membolehkan tentera untuk melancarkan serangan balas ke atas kumpulan pemberontak. - AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/pasukan-khas-arab-saudi-terlibat-di-yemen-1.77337#sthash.MQlo3paR.dpuf